Polis tumpas geng 'ah long', lapan lelaki ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menumpaskan geng 'ah long' selepas menahan lapan lelaki kerana menawarkan pinjaman wang tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah premis di Bayan Lepas di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, hasil risikan dan maklumat awam.

"Berdasarkan siasatan awal, selain menawarkan pinjaman tanpa lesen dengan faedah yang tinggi, mereka juga mengugut mangsa yang gagal membuat bayaran balik pinjaman.

"Susulan penahanan lapan lelaki itu, polis merampas 19 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 15 keping kad ATM pelbagai bank, tiga buku cek, lapan keping cek atas nama peminjam, senarai nama peminjam, empat kereta dan 14 salinan kad pengenalan peminjam,"," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Bayan Baru-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, bermula jam 11 malam Sabtu hingga 7 pagi Ahad.

"Kami menahan dua lelaki berkenaan kerana selain berlumba, mereka juga melakukan aksi menunggang secara berbahaya. Suspek kini direman dan kes disiasat menurut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya sambil menambah dua motosikal turut disita selain lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan dan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan terutama pada hujung minggu. - Bernama

Artikel Berkaitan: