JHEAT dan polis siasat 'pesta dangdut'

Mohd Nor (dua dari kanan) menunjukkan buku Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 kepada Lily Julia.
Mohd Nor (dua dari kanan) menunjukkan buku Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 kepada Lily Julia.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan polis untuk siasatan berhubung pesta Arabian Dangdut Night yang menampilkan seorang penyanyi berpakaian seksi di sebuah hotel pada 25 Mac lalu.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, polis turut menerima laporan kejadian itu dan kerajaan negeri mengambil pendirian tidak campur tangan dalam siasatan yang menjurus kepada perlanggaran garis panduan hiburan tersebut.

"Kita sudah mendengar penjelasan situasi sebenar dan saya harap pengurusan hotel akan lebih teliti menerima tempahan pelanggan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan hotel tersebut di sini pada Ahad.

Sebelum ini tular video berdurasi 25 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan aksi persembahan penyanyi dengan berpakaian menjolok mata di sebuah hotel di pusat bandar Kuala Terengganu.

Video yang memaparkan nyanyian individu terbabit pada 25 Mac lepas dikecam warganet yang marah kerana berlaku beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Mohd Nor berkata, JHEAT sentiasa melakukan pemantauan di premis termasuk hotel dan pawagam bagi menyampaikan maklumat mengenai penguatkuasaan garis panduan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Tanjung Vista, Lily Julia Hassan Tan yang mewakili pengurusan hotel memohon maaf atas kejadian tersebut yang menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata, majlis itu bukan anjuran hotel tersebut sebaliknya pihak persendirian dengan kehadiran 120 jemputan.

Artikel Berkaitan:

"Tempahan hanya untuk majlis makan malam dan karaoke sahaja tanpa disebut ada tarian seperti yang tular dalam video itu," katanya.