Sila log masuk terlebih dahulu.

Musang King berendam menu istimewa Kampung Chuchuh Puteri

Musang King berendam yang telah siap dimasak hasil idea dan ciptaan Siti Khazanah. - Foto Bernama
Musang King berendam yang telah siap dimasak hasil idea dan ciptaan Siti Khazanah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KRAI - Keenakan rasa durian Musang King menyaksikan buah tropika yang berasal dari Asia Tenggara itu sentiasa mendapat permintaan tinggi setiap tiba musimnya.

Melihat kepada potensi raja buah itu, pembuat kuih tradisional Siti Khazanah Mohd Nordin, tampil mencipta kelainan apabila mula menghasilkan kuih ‘Musang King berendam’ sejak bulan puasa tahun lepas.

Bercakap kepada Bernama, Siti Khazanah berkata idea menghasilkan juadah unik itu tercetus hasil inspirasi dari kuih badak berendam.

"Jika badak berendam menggunakan inti kacang merah, resipi saya ini dihasilkan menggunakan isi Musang King sebagai intinya.

"Selain bahagian inti, saya turut meletakkan isi durian Musang King dalam kuah juadah ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Chuchuh Puteri, di sini pada Ahad.

Pembuat kuih tradisional, Siti Khazanah Mohd Nordin, 52, memasukkan adunan tepung berintikan Musang King ke dalam kuah yang telah siap dimasak pada proses membuat musang king berendam
semasa ditemui di rumahnya di Kampung Chuchuh Puteri. - Foto Bernama
Pembuat kuih tradisional, Siti Khazanah Mohd Nordin, 52, memasukkan adunan tepung berintikan Musang King ke dalam kuah yang telah siap dimasak pada proses membuat musang king berendam semasa ditemui di rumahnya di Kampung Chuchuh Puteri. - Foto Bernama

Bercerita lanjut, wanita berusia 52 tahun itu berkata kuih berkenaan sangat mudah disediakan, tambahan pula bahan-bahan digunakan mudah serta murah untuk diperoleh.

"Proses menghasilkan kuih ini mempunyai tiga peringkat. Langkah pertama isi durian Musang King akan dimasak sehingga kering sebelum dibentukkan bujur atau bulat.

Artikel Berkaitan:

"Langkah kedua tepung pulut dibancuh bersama air dan diuli hingga sebati, seterusnya dimasak menggunakan air panas, kemudian dibentuk menjadi bulat dalam saiz besar,” katanya yang turut mengusahakan kebun durian Musang King seluas 16 hektar.

Menurutnya, proses ketiga diteruskan untuk menyediakan kuah kuih tersebut menggunakan bahan utama iaitu santan, gula melaka dan daun pandan.

"Setelah kuah siap dimasak, cara menghidangnya ialah curahkan kuah yang banyak ke atas tepung dibentuk bulat sebab itulah namanya diberikan Musang King berendam," katanya.

Siti Khazanah berkata, kuih ciptaannya itu dijual pada harga RM5 untuk satu bekas yang mempunyai tiga biji Musang King berendam.

"Pada sambutan Ramadan kali ini, saya sudah mula menerima hampir 100 tempahan daripada sekitar Chuchuh Puteri,” katanya. - Bernama