PNB tak pertimbang sebarang program bon

A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan bahawa ia tidak meluluskan atau mempertimbangkan sebarang program bon boleh tukar untuk terbitan, setakat ini.

“Kami ingin menjelaskan lagi bahawa pinjaman sedia ada atau pada masa akan datang, jika dilaksanakan, hanya akan melibatkan portfolio proprietari PNB dan tidak melibatkan dana unit amanahnya, yang berbeza daripada dana proprietari PNB.

“Operasi dan pelaburan dana unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional dikawal selia secara ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan di bawah peraturan SC, tiada pengurus dana unit amanah, termasuk PNB, dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pinjaman untuk dana tersebut atau membebankan aset di bawah dana ini untuk sebarang tujuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

PNB mengeluarkan penjelasan berhubung laporan Bloomberg pada 21 Mac, “Biggest Malaysia State Fund Weighs Debut Exchangeable Bond Sale”, yang memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, pengurus dana itu sedang mempertimbangkan penjualan bon boleh tukar yang pertama untuk meraih dana bagi pelaburan di luar negara.

“Oleh itu, apa-apa spekulasi mengenai perkara ini adalah tidak perlu dan kebimbangan berhubung aset unit amanah kami tidak berasas.

“Kami ingin menyatakan sebagai penjaga kepada kekayaan jutaan rakyat Malaysia, PNB sentiasa berpandukan kepada mandatnya dalam semua keputusan pelaburan yang kami lakukan dan komited kepada piawaian integriti yang tertinggi,” katanya.

PNB juga berkata, ia akan terus menilai dan meneliti pelbagai cara dan kaedah untuk meningkatkan modal bagi aktiviti pelaburan domestik dan global, termasuk instrumen hutang seperti pinjaman berjangka, sukuk dan bon boleh tukar. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia