Maut rempuh belakang lori

Keadaan lori dipandu mangsa remuk bahagian hadapan selepas merempuh sebuah lagi lori.Gambar kecil: Mohd Ali
A
A

IPOH - Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori lain dengan muatan cip elektronik di KM287.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur Plaza Tol Simpang Pulai di sini hari ini.

Mangsa S Kalaiarasu, 20, cedera parah akibat tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian manakala kelindannya Palani Deena,18, cedera di bahagian tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.45 pagi semasa kedua-dua kenderaan jenis Isuzu dan Hino itu dari arah sama ke utara.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang lori lain dan menyebabkan kenderaan itu terheret ke lorong kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan besi.

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori jenis Hino maut di tempat kejadian dan kelindannya cedera manakala pemandu lori syarikat kawalan keselamatan itu pula luka di bibir," katanya dalam satu laporan di sini.

Menurut Mohd Ali, kedua-dua lori tersebut dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk dihantar ke Puspakom bagi pemeriksaan lanjut.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat selain sampel darah juga telah diambil untuk dihantar ujian toksikologi.

"Siasatan lanjut kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia