Polis tahan lapan individu disyaki terlibat dadah

Polis menahan lapan individu warga tempatan termasuk sepasang suami isteri pada Jumaat kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang
Polis menahan lapan individu warga tempatan termasuk sepasang suami isteri pada Jumaat kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan lapan individu warga tempatan termasuk sepasang suami isteri semalam kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang, serta merampas dadah jenis ganja seberat hampir 7.5 kilogram dianggarkan bernilai RM41,550.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semua suspek yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita itu berusia 19 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap sepasang suami isteri hasil serbuan di tepi Jalan Robertson Bukit Bintang pada 4.10 petang dan merampas dadah jenis ganja seberat 1,893 gram.

Menurut beliau, hasil soal siasat ke atas pasangan terbabit membawa kepada penahanan lima lelaki dan seorang wanita melalui dua serbuan di sekitar Lembah Klang dan merampas dadah jenis ganja seberat 5,588 gram.

“Sindiket ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan dipercayai aktif sejak November tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, di sini malam Ahad.

Beliau berkata, saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Dellhan berkata, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 14,962 orang penagih dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1985 dan kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bermula pada hari ini (2 April) hingga 8 April,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan kegiatan pengedaran atau penagihan dadah dan menyalurkan sebarang maklumat kegiatan dadah dan jenayah kepada Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-221159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. - Bernama