Wanita warga Indonesia menangis ditahan

Ahmad Salihin Salleh (berdiri) sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian daripada warga asing yang ditahan dalam operasi pagi tadi.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga Indonesia menangis teresak-esak ketika ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pagi tadi.

Apabila ditanya kenapa menangis, Elisabeth Funan, 40, dari Timur Lester, Indonesia itu memberitahu yang dia sangat takut kerana selama berada di Malaysia, dia tidak pernah berdepan situasi itu.

"Saya takut bila tengok baju uniform dipakai dan paling takut kalau di hantar balik ke kampung halaman (Indonesia) kerana tiada sesiapa di sana, saya anak yatim piatu," katanya dengan teresak-esak.

Dia yang bekerja sebagai pembantu rumah dan tinggal bersama majikannya di Flat Sri Kolam, di sini, bagaimanapun, dibebaskan selepas pemeriksaan lanjut mendapati dia memiliki permit kerja yang sah.

Warga Indonesia itu yang sudah menetap di sini hampir 11 tahun antara 112 warga asing yang diperiksa dalam Ops Kutip bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.


ELISABETH FUNAN
ELISABETH FUNAN

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, operasi bersepadu (Ops Kutip) dijalankan susulan aduan awam memaklumkan kebanjiran warga asing di Hentian Bas MBKT, di sini, terutamanya pada hari cuti.

"Hasil risikan juga mendapati sekitar lokasi Hentian Bas MBKT menjadi tumpuan warga asing dan pergerakan mereka terlalu bebas.

"Situasi ini menimbulkan ketidakselesaan warga tempatan dan sekiranya dibiarkan berlarutan, mungkin boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman masyarakat setempat di situ" katanya ketika ditemui di lokasi selepas operasi.

Dalam operasi yang melibatkan 30 anggota, seramai 112 warga asing diperiksa dan 23 daripadanya iaitu seramai 12 orang warga Bangladesh, 3 (Indonesia) dan 8 (Myanmar) ditahan.

Seramai 21 orang daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana masuk dan tinggal secara haram di negeri ini dan dua orang daripadanya ditahan dibawah Seksyen 15(1)(c) kerana pas tamat tempoh.