Persiapan sambut Ramadan ala kadar, elak terlebih belanja

Gambar dari kiri: Huzaina, Hasliza, Alia
Gambar dari kiri: Huzaina, Hasliza, Alia
A
A
A

ALOR SETAR - Kehadiran Ramadan tahun ini lebih menyeronokkan berikutan negara memasuki fasa endemik selain tidak lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah rentas sempadan yang kini terbuka luas membuatkan ramai ceria menantikan kehadiran sanak-saudara.

Namun di sebalik kegembiraan itu, ramai yang memilih untuk menyambut Ramadan dengan melakukan persiapan secara sederhana dan ala kadar mengikut kemampuan masing-masing, berikutan kenaikan kos sara hidup khususnya harga barang.

Penjawat awam, Huzaina Hashim, 48, membuat persiapan secara sederhana tanpa berbelanja berlebihan memandangkan harga kebanyakan barangan basah mahupun kering lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Persiapan biasa sahaja, memang ada kenaikan harga barang walaupun sedikit tetap akan meningkatkan perbelanjaan kita, jadi saya perlu buat perancangan sebaiknya untuk elak terlebih belanja.

“Kalau dengan wang RM100 sekarang ini, berapa banyak sangat barang yang dapat dibeli. Jadi perlu kawal perbelanjaan agar kita tidak membazir dalam keseronokan,” katanya.

Menurutnya lagi, diharap peniaga di bazar Ramadan turut mengenakan harga berpatutan dengan barangan yang dijual dan tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang mentah.

“Harap pihak berkuasa pantau harga makanan di bazar Ramadan supaya tidak bebankan orang ramai, sudah lah terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang, kalau harga makanan pun naik mendadak, kuasa membeli rakyat akan menurun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pekerja swasta, Hasliza Saad, 47, lebih selesa memasak untuk seisi keluarga bagi mengurangkan kos perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan.

“Persediaan sambut Ramadan secara ala kadar sahaja, saya lebih selesa memasak lauk-pauk untuk keluarga kerana lebih mudah bajet berapa kuantiti makanan yang dimasak termasuk dapat jimatkan kos membeli.

“Sesekali ada beli makanan istimewa seperti ayam bakar di bazar, cuma kuantitinya perlu dikawal sebab harga pun mungkin akan naik selepas harga ayam mentah naik beberapa bulan lepas,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya hanya membeli kuih-muih untuk dimakan empat ahli keluarganya dan memastikan tidak membeli secara berlebihan.

“Kalau ikut hati, memang semua kita nak beli, tetapi akhirnya tak dapat habiskan makanan dan dibuang begitu saja, jadi lebih baik kita kawal ketika membeli. Rancang untuk berjimat dan elak pembaziran,” katanya.

Alia Saifful Anur, 20, turut mengambil sikap berjimat cermat ketika Ramadan memandangkan kebanyakan harga barangan kini membebankan.

“Saya menyara tiga adik dan bapa, sebagai ketua keluarga saya hanya membuat persediaan sambut Ramadan dengan membeli bahan memasak mengikut jadual belanjawan dalam tempoh sebulan.

“Saya cuba elakkan beli barangan yang tidak perlu atau yang terlalu mahal. Untuk elak tersasar ketika berbelanja, saya rancang lebih awal apa makanan yang mahu dimasak untuk seminggu,” katanya yang bekerja di sebuah kedai makan dekat sini.

Menurutnya, untuk memudahkan dirinya merancang perbelanjaan, dia menyenaraikan barang yang perlu dibeli termasuk anggaran harganya sekali.

“Cara ini membolehkan saya lihat pergerakan wang dalam bulan itu. Sesekali ada juga membeli makanan di bazar Ramadan namun perlu bijak memilih,” katanya.

Alia berharap ekonomi negara semakin pulih dan kerajaan dapat segera menurunkan harga barangan terutama dalam sektor makanan dan peruncitan.

“Sekarang ini, bukan golongan B40 sahaja yang terkesan, malah M40 pun dihimpit kos perbelanjaan. Diharap semua orang dapat berbelanja dengan berjimat cermat untuk sambut Syawal pula.

“Harga barang naik pun untuk kebaikan ekonomi negara kita juga, cuma harapan saya agar tahun depan rakyat tidak lagi dibebani dengan kos hidup yang tinggi,” katanya.