Ikut SOP: Mendarat selepas diberi kebenaran

Muhammad Fauwaz Zamzam. -Foto dari Facebook Capt Hj Muhammad Fauwaz Zamzam
A
A

SHAH ALAM - "Insiden itu memang mengejut namun saya reda dengan ketentuan Illahi," demikian penjelasan juruterbang persendirian Berjaya Air, Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam.

Mengulas mengenai kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang Isnin lalu, pihaknya diberi kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan.

"Ketika itu, memang tak ada lampu isyarat yang memaklumkan ada pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di atas landasan terbabit.

"Jadi kelaziman kami yang terlatih untuk membuat pendaratan sempurna sebaik diberi kebenaran sebab mana-mana pesawat pun tak akan mendarat selagi tiada kebenaran.

"Bagaimanapun kami terkejut mendengar bunyi dentuman kuat ketika memperlahankan kelajuan pesawat selepas mendarat," katanya.

Katanya, pada ketika itu, dia tertanya-tanya apalah punca dentuman itu dan terkejut apabila dimaklumkan ada berlaku pelanggaran dengan kereta penyelenggaraan terbabit.

Fauwaz yang berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang itu bagaimanapun tidak trauma dengan kejadian terbabit kerana menyifatkan selagi pesawat bergerak, risiko tetap ada.

"Juruterbang memang dilatih untuk berhadapan dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, biarpun pesawat dah selamat mendarat seperti mana insiden yang terjadi ini.

"Terkilan juga kerana pelbagai andaian dan tuduhan liar dilemparkan sedangkan kes itu masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa," ujarnya.

Tambahnya, apa yang boleh dikatakan, semua juruterbang sudah mematuhi segala prosedur yang ditetapkan.

"Saya harap kita semua tunggu hasil siasatan pihak berkuasa.

"Dalam dunia serba canggih ini dalam media sosial, kita tak boleh halang orang nak cakap atau tutup benda meskipun masih dalam siasatan ni, tapi saya berharap masing-masing matang dalam etika bersosial dan perlu memikirkan sensitiviti pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan MAB cedera kemalangan di landasan meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan kematian pemandu kereta MAHB

Terdahulu, insiden kira-kira jam 3.20 pagi itu mengakibatkan bahagian bumbung kenderaan jenis Perodua Kembara tercabut selepas terkena bahagian sayap pesawat berkenaan.

Pemandu kenderaan terbabit yang dilaporkan tersepit kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Sime Darby, SS12, untuk rawatan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, operasi penerbangan pesawat di lapangan terbang itu terganggu seketika bagi memberi ruang siasatan serta pengalihan kenderaan dan serpihannya.

Sementara itu, polis membuka kertas siasatan susulan kematian kakitangan tersebut.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.