YIDE agih sumbangan RM1.21 juta kepada anak yatim

Sebahagian penerima sumbangan YIDE pada tahun 2019.
Sebahagian penerima sumbangan YIDE pada tahun 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan sumbangan sebanyak RM1.21 juta yang akan diagihkan secara berperingkat kepada 8,100 anak yatim di negeri ini bermula Ahad.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah berkata, setiap seorang anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE akan menerima sebanyak RM150.

“Alhamdulillah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE yang sangat prihatin dengan kebajikan anak-anak yatim bersetuju menaikkan jumlah RM50 lagi pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya hanya RM100 seorang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Nur Mohd berkata, sumbangan itu akan dikreditkan secara berperingkat melibatkan bilangan anak yatim yang berdaftar di sembilan daerah di negeri ini.

"Penerima mengikut daerah iaitu Hulu Langat seramai 1,410 orang, Sepang (402), Petaling (1,322), Kuala Selangor (787) dan Gombak (1,187).

"Daerah lain ialah Kuala Langat (564), Sabak Bernam (409), Klang (1,533) dan Hulu Selangor (486)," katanya.

Beliau berkata, sebelum negara dilanda wabak Covid-19, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menyantuni dan menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim di seluruh daerah di negeri ini.

"Bagaimanapun, pada tahun ini dan seperti tahun lalu tiada majlis rasmi dilaksanakan bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19, meskipun negara kita telah memasuki fasa peralihan endemik bermula Jumaat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sumbangan kepada anak-anak yatim untuk Aidilfitri tetap diteruskan seperti tahun lalu dengan setiap sumbangan dikreditkan terus kepada anak yatim atau akaun penjaga.

Tambahnya, pandemik yang melanda negara telah menyebabkan ramai yang menjadi yatim dalam sekelip mata.

Katanya, jumlah sumbangan YIDE pada tahun ini meningkat kepada 680 penerima berbanding tahun lalu apabila merekodkan sebanyak 7,420 orang anak yatim.

"YIDE mengucapkan terima kasih kepada penyumbang terdiri daripada orang ramai serta syarikat korporat yang telah menyalurkan sumbangan untuk menyantuni anak yatim ini.

"Terima kasih juga kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sumbangan melalui Baitulmal MAIS sebanyak RM500,000," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada Ramadan tahun ini, YIDE akan meneruskan tradisi mengedarkan Kupon Infaq Yatim di lima daerah yang boleh diperoleh melalui Amil Zakat Fitrah yang dikenali sebagai Sahabat Prihatin YIDE (SPY).

"YIDE turut mengajak orang ramai untuk muat turun aplikasi InfaqYIDE di Goole Play Store dan Apple Store untuk memudahkan orang ramai menyalurkan infak secara digital," katanya.