Buka sempadan: 40 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu

Mohamad
Mohamad
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 40 warga asing ditahan di sekitar Port Dickson kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tiada pengenalan diri sah menerusi operasi bersepadu sempena pembukaan sempadan antarabangsa negara pada Jumaat.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, operasi yang dijalankan selama 21 jam bermula 12 tengah malam itu, dijalankan bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan di sempadan perairan negara dan darat terutama di sekitar perairan Port Dickson.

"Daripada 40 yang ditahan itu, 18 daripadanya adalah warga Filipina, 17 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak serta lima dari Myanmar dengan 256 lagi diperiksa di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Operasi Bersepadu Agensi Keselamatan Negeri Sembilan Sempena Pembukaan Semula Sempadan Negara, yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini malam Jumaat.

Dalam operasi sama, Mohamad berkata, polis turut merampas 1,373 paket bersamaan dengan 25,332 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama, dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara dengan jumlah rampasan bernilai RM16,965.

Dalam pada itu, menurutnya, menerusi rondaan dan pemantauan di kawasan perairan mendapati, tidak ada mengesan PATI atau warga asing yang menyeludup masuk ke negeri ini setakat hari ini.

Namun beliau berkata, pihaknya akan sentiasa perketatkan pemantauan, memandangkan perairan Port Dickson merupakan kawasan titik panas yang menjadi tumpuan pendaratan PATI dan penyeludupan.

Mengenai operasi bazar Ramadan, Mohamad berkata, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat pemantauan bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan Covid-19.

"Kita mahu pastikan perjalanan di bazar Ramadan itu teratur dan lancar. Kita harap masyarakat patuh SOP selain tidak mahu ambil tindakan sewenang-wenangnya, tidak patuh peraturan baru dikenakan tindakan tertentu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aminuddin berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan terus dijalankan secara menyeluruh termasuk di daerah bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat terus kekal terpelihara daripada sebarang ancaman jenayah rentas sempadan.

Beliau turut menasihati rakyat untuk terus berdisiplin mematuhi SOP, meskipun pelbagai kelonggaran diberikan semula termasuk aktiviti solat jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

"Lebih-lebih lagi kita juga akan menerima kedatangan pelancong dari luar negara, selepas pembukaan sempadan negara dan orang ramai diseru sentiasa berwaspada dan tetap menjaga SOP ditetapkan,” katanya. - Bernama