Sila log masuk terlebih dahulu.

Seorang lagi mangsa nahas 3 kenderaan di Semporna meninggal dunia

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Semporna-Tawau di sini, pada Jumaat, dilaporkan meninggal dunia.

Mangsa ketiga remaja lelaki yang turut berada di dalam sebuah Perodua Kancil, disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Kancil berusia 30 tahun dalam perjalanan menuju ke Kampung Salimbungan.

"Sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun juga dari laluan sama berada di belakang Perodua Kancil.

"Sebaik tiba di lokasi, pemandu Perodua Kancil memperlahankan kenderaan dan tiba-tiba pacuan empat roda melanggar dari arah belakang menyebabkan Perodua Kancil masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Katanya, akibat kejadian itu, tiga mangsa maut termasuk seorang bayi perempuan berusia 10 bulan yang berada di dalam Perodua Kancil.

"Pemandu Perodua Kancil cedera di tangan kanan serta di kedua-dua kakinya dan adik perempuannya berusia 27 tahun mengalami pendarahan di kepala dan patah tangan kiri.

"Sementara itu, isteri pemandu berusia 30 tahun bersama anak yang dipangkunya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak saudara mereka iaitu lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia di Hospital Semporna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Farhan berkata, pemandu pacuan empat roda ditahan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan dua maut manakala tiga lagi parah dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tagasan Tawau-Semporna.