Kes Baby Syifaa: Polis terima arahan lanjut dari Pejabat Pendakwaan

Abd Jalil - Foto Bernama
Abd Jalil - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan kes seorang bayi yang meninggal dunia di pusat jagaan yang dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan sebelum ini telah dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut yang perlu diambil tindakan dalam melengkapkan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, polis mengambil masa menyiasat kes itu kerana perlu mendapatkan beberapa laporan daripada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama.

"Polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’,” menurutnya dalam kenyataan malam Jumaat.

Beliau berkata, polis juga mengambil maklum tentang kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan yang dijalankan ke atas kematian di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan itu.

"Polis menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang dan masa bagi memastikan siasatan dibuat secara komprehensif dan holistik,” katanya.

Pada 22 Februari lepas, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: