Piala Thomas: Malaysia tetap waspada

Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara taruhan skuad negara pada saingan Piala Thomas kali ini. FOTO: Badminton Association of Malaysia - BAM
Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara taruhan skuad negara pada saingan Piala Thomas kali ini. FOTO: Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

MALAYSIA diundi berada dalam satu kumpulan bersama naib juara Piala Thomas 2018, Jepun, pada kejohanan dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand, dari 8 hingga 15 Mei ini.

Undian yang berlangsung secara maya pada Jumaat memberikan peluang kepada Malaysia untuk menebus kekalahan 1-4 kepada pasukan pilihan kedua itu pada peringkat kumpulan Piala Thomas tahun lalu, selepas kedua-dua pasukan diundi berada dalam Kumpulan D.

Selain Jepun, skuad negara yang merupakan pilihan keenam kejohanan badminton paling berprestij itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mengatasi England dan New Zealand yang juga berada dalam kumpulan yang sama, bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Undian Piala Thomas kali ini, saya dan pasukan rasa tidak susah untuk kami melepasi peringkat kumpulan seterusnya untuk layak ke kelompok lapan terakhir.

“Kalau lihat pasukan dalam kumpulan D, kalau di atas kertas mungkin kami tidak akan berdepan masalah tewaskan New Zealand. Bagaimanapun kami tidak mahu terlalu over confident kerana lawan kami seperti Jepun dan England boleh dikatakan kuat.

“Jadi saya harap pasukan boleh fokus dan cuba yang terbaik bagi edisi kali ini,” kata pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Untuk rekod, pada edisi yang lalu, perjuangan skuad badminton lelaki negara dalam kempen Piala Thomas berakhir selepas tewas 0-3 di tangan musuh tradisi, Indonesia pada aksi suku akhir di Aarhus, Denmark.

Dalam pada itu, pilihan utama kejohanan yang juga merupakan penyandang juara edisi lalu iaitu Indonesia pula akan mengetuai Kumpulan A bersama Korea Selatan, tuan rumah, Thailand dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Juara 10 kali yang juga merupakan pilihan ketujuh kejohanan iaitu China diundi bersama Denmark, Perancis dan Algeria.

Bagaimanapun laluan sukar menanti pasukan Piala Uber negara apabila diundi dalam kumpulan C bersama tuan rumah Thailand l, Denmark dan Mesir.

“Saya lihat peluang untuk kami lepas peringkat kumpulan tidak mustahil kerana ia masih terbuka 50-50. Apa-apapun saya dan pasukan akan cuba yang terbaik untuk edisi Piala Uber kali ini,” kata beregu wanita utama negara, M Thinaah.

Juara bertahan China pula diundi bersama Taiwan, Sepanyol dan Australia dalam kumpulan B.

Naib juara edisi lalu, Jepun diundi dalam kumpulan A bersama Indonesia Perancis dan Jerman.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan Piala Thomas dan Piala Uber akan layak ke suku akhir.

Malaysia merangkul Piala Thomas lima kali iaitu pada 1949, 1955, 1967 dan 1992.

Bagaimanapun pasukan wanita negara tidak pernah menjuarai Piala Uber sejak ia dimulakan pada 1957 di England.