X

Kindly register in order to view this article
!

Bila pulak Datuk Aliff Syukri jadi Pengarah SPRM?

Gambar hiasan
A
A

PELBAGAI kisah penipuan scammer yang saya baca di media. Macam-macam kaedah digunakan untuk menipu mangsa. Macau Scam, African Scam, penipuan jualan online, pelaburan palsu dan pinjaman tak wujud. Pura-pura jadi pegawai Bank Negara lah, jadi pegawai polis lah. Banyak taktik digunakan untuk memperdaya mangsa.

Dalam pada kita berjaga-jaga dan pelbagai usaha kesedaran dijalankan pihak polis, masih ramai yang menjadi mangsa. Buktinya statistik yang dikeluarkan pihak polis menunjukkan kes mangsa yang terperangkap dengan taktik ini makin meningkat setiap tahun. Jumlah kerugian pula meningkat hingga ratusan juta ringgit. Bukan angka yang kecil!

Mangsa pula kadangkala bukan orang biasa-biasa. Orang yang berpendidikan pun menjadi mangsa hingga rugi ratusan ribu. Banyak kes yang dilaporkan media, namun paling saya tak boleh lupa kes seorang guru wanita kerugian RM212, 210 wang simpanan KWSP lesap diperdaya Macau Scam.

Uniknya kes ini, mangsa sudah sedar diperdaya setelah memindahkan RM29,995 ke akaun scammer, namun setelah termakan dengan kata-kata scammer bahawa akaun miliknya terlibat pengubahan wang haram, mangsa memindahkan semua wang miliknya ke akaun scammer. Habis licin.

Pagi tadi kira-kira jam 9 pagi saya menerima panggilan dari satu nombor. Apabila mengangkat panggilan tersebut ada seorang perempuan dengan suara seperti dirakam mengatakan saya ada satu kes dalam siasatan SPRM.

Untuk mengetahui dengan lanjut, wanita itu berkata saya perlu tekan nombor 0 untuk bercakap dengan pegawai SPRM yang bertugas.

Saya pun menekan nombor kosong dan ada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Faizal Mohamad. Faizal dengan nada suara tegas bertanya apa yang boleh dibantu.

Saya pun berkata tadi ada seorang wanita memaklumkan bahawa saya mempunyai satu kes SPRM, saya ingin tahu apa kesnya.

Kemudian Faizal meminta saya menyebut nombor Mykad. Saya pun memberi nombor yang tidak betul. Saya diminta tunggu sebentar kerana dia ingin menyemak di pengkalan data.

Faizal berkata, saya tiada apa-apa kes dan memohon maaf kerana pegawainya tersilap menghubungi saya. Saya kata, nombor awal yang diberikan tadi salah, saya memberikan nombor Mykad yang baru (juga tidak tepat) untuk disemak sama ada mempunyai kes atau tidak.

Selang seminit Faizal berkata, setelah disemak tiada kes. Saya pun berkata kepada Faizal macam mana boleh tersilap telefon, ini bukan main-main dan bertanya kepadanya apa nombor anggotanya.

Faizal berkata nombor anggotanya G15576. Nombor yang diberikan agak pelik lalu saya bertanya siapa pengarah SPRM lalu Faizal berkata Datuk Aliff Syukri. Saya bertanya sekali lagi adakah betul nama pengarah itu. Faizal dengan yakin berkata ya. Saya kata sejak bila tauke DHerbs jadi pengarah SPRM?

Saya kata kepada Faizal, kenapa tak sebut nama pengarah SPRM ialah Bobo di mana? Agak-agakla nak menipu! Faizal terus meletakkan telefon walaupun belum sempat saya nak habiskan percakapan.

Saya rasa dia nak sebut nama Datuk Seri Mohd Shukri Abdull tetapi tersilap.

Kalaupun dia sebut nama Datuk Shukri, ia masih tidak betul kerana jawatannya bukan pengarah tapi Ketua Pesuruhjaya. Tak sempat saya nak beri sedikit nasihat Faizal sudah meletakkan telefon. Saya harap Faizal kalau pun bukan nama sebenar dapat baca tulisan ini.

Carilah pekerjaan lain yang baik dan janganlah menipu orang. Orang lain bangun pagi bersesak-sesak untuk ke tempat kerja mencari rezeki yang halal, anda pula pagi-pagi sudah telefon orang dengan niat nak tipu supaya dapat duit mudah! Ingatlah bahawa aturan hidup ini kalau pun awak tak dapat balasan di dunia, akhirat pasti tak terlepas.

Kepada rakyat tempatan yang bersekongkol dengan sindiket ini (Awang Hitam) untuk menipu rakyat sendiri, anda adalah pengkhianat negara. Tak lupa kepada kumpulan yang menjual data maklumat peribadi kita kepada sindiket ini, anda juga pengkhianat dan penipu besar!