Gagal bayar hutang: Ah long bakar rumah

Mangsa menjawab soalan pemberita ketika sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kepong, hari ini.
Mangsa menjawab soalan pemberita ketika sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kepong, hari ini.
A
A
A

DAMANSARA - Tindakan seorang gadis yang gagal membuat bayaran pinjaman ah long mengikut tempoh ditetapkan mengundang padah apabila kediamannya dibakar pihak terbabit dalam kejadian pada Rabu lalu.

Menurut abang mangsa, Saw Yeow Ann, 24, adik perempuannya sebelum ini telah membuat pinjaman daripada sebuah syarikat pinjaman wang di Singapura namun atas sebab tertentu dia gagal untuk membuat pembayaran mengikut tempoh yang ditetapkan.

Yeow Ann berkata, ah long terbabit sebelum ini telah beberapa kali menghubungi adiknya dan mengugut untuk menyimbah cat serta membakar rumah mereka di Damansara Bestari jika pembayaran tersebut masih gagal dijelaskan dalam tempoh waktu terdekat.

"Adik saya pinjam SG $700 daripada sebuah syarikat peminjam wang tapi gagal membuat pembayaran balik," katanya.

Mengulas lanjut, Yeow Ann berkata, sewaktu kejadian itu, dia tinggal berseorangan dan berada di dalam bilik sebelum dihubungi adiknya yang memaklumkan mengenai kebakaran di pintu hadapan rumah berkenaan.

"Saya mulanya tak sedar rumah terbakar, bila dah dengar adik kata terus ke pintu depan dan tengok api dah marak.

"Jiran cuba untuk padamkan api guna air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran yang berlaku dalam kejadian berkenaan
Kebakaran yang berlaku dalam kejadian berkenaan

Selepas api berjaya dipadam, Yeow Ann cuba untuk keluar dari rumah tersebut namun pintu gril telah dikunci pihak terbabit dengan menggunakan pengunci basikal.

"Kami terpaksa hubungi polis untuk bantuan," katanya.

Tambah Yeow Ann, dia dan adiknya sudah membuat laporan di Balai Polis Seapark pada hari sama bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan tersebut.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.