Teruja bertemu keluarga selepas 2 tahun 'terperangkap' di Vietnam

Lee Kong Wah
Lee Kong Wah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penyelia kilang di Vietnam, Lee Kong Wah, 54, teruja dan tidak sabar untuk bertemu keluarga selepas dua tahun 'terperangkap' di negara itu akibat pandemik Covid-19.

Dia yang menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini pada Jumaat, mengakui amat rindukan keluarganya setelah hidup seorang diri di negara orang.

"Tempoh dua tahun berjauhan dengan keluarga itu terasa amat panjang lebih-lebih lagi tidak ada orang lain yang senasib dengan saya.

"Mujurlah majikan memahami masalah yang dihadapi kerana tidak dapat pulang dengan menyediakan kemudahan tempat tinggal dan keperluan lain.

"Jadi, apabila dapat pulang ini, saya hendak meluangkan masa dengan mereka setelah banyak terlepas peluang sebelum ini. Mungkin akan bawa mereka bercuti dan makan besar bersama-sama keluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di LTAS pada Jumaat.

Kong Wah merupakan seorang seorang daripada 82 penumpang penerbangan antarabangsa pertama ke LTAS dari Ho Chi Minh, Vietnam.

Kong Wah berkata, dia tidak berfikir panjang dan cepat-cepat menempah tiket kapal terbang untuk pulang ke Johor selepas mendapat tahu pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu.

Katanya, banyak peristiwa penting tidak dapat bersama-sama keluarga antaranya meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama mereka.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang berada di Vietnam, Kong Wah memberitahu, keluarganya berasa bimbang akan keselamatan dirinya selain membuat panggilan video bagi menenangkan keluarganya di Taman Pulai Indah, dekat sini.

"Pada awalnya, saya juga risau namun setelah dibantu majikan, ditambah pula dengan kos sara hidup yang rendah di sana, ia beri kelegaan kepada saya," katanya.

Sementara itu, seorang warganegara Vietnam yang mahu dikenali Vinni, 35, gembira dapat kembali bersama suaminya dan anak yang merupakan warga tempatan.

"Saya pulang ke Vietnam dahulu kerana ada urusan, tidak tahu pula sempadan antarabangsa Malaysia ditutup bagi tempoh yang lama.

"Pada awalnya saya jangka akan berlaku sekejap sahaja, mungkin dua atau tiga bulan, siapa sangka ia berlarutan hingga dua tahun," katanya.

Dia berharap usaha pembukaan semula sempadan ini akan berterusan kerana perlu berulang alik ke Vietnam atas urusan kerja dan keluarganya.