1,374 produk makanan disita kerana tidak patuh Akta makanan

Anggota penguatkuasa JKNP menjalankan operasi pelabelan di premis perniagaan di Pahang bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan di bawah Akta Makanan. - Foto ihsan JKNP
Anggota penguatkuasa JKNP menjalankan operasi pelabelan di premis perniagaan di Pahang bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan di bawah Akta Makanan. - Foto ihsan JKNP
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyita 1,374 produk makanan bernilai RM10,084.82 kerana tidak mematuhi Akta Makanan.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 48 notis yang dianggarkan berjumlah RM15,2000 juga telah dikeluarkan atas akta sama.

Menurutnya, rampasan dan notis itu dikeluarkan hasil daripada operasi pelabelan bermula 30 hingga 31 Mac lalu yang dilakukan ke atas 118 premis perniagaan seperti pasaraya, kedai runcit dan premis makanan di seluruh negeri.

Nor Azimi berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah makanan yang dijual tidak mempunyai label seperti yang diperuntukan di bawah Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Terdapat juga label yang tidak mempunyai nama sebutan sebenar produk makanan seperti peruntukkan yang di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Makanan yang diimport dan dijual di pasaran tempatan juga didapati menggunakan bahasa asing seperti bahasa Korea, Cina dan Thailand sebagai label produk mereka.

"Terdapat juga produk yang dibuat di Malaysia tetapi menggunakan bahasa Inggeris pada label produk mereka. Kesalahan ini telah melanggar peruntukan bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nor Azimi berkata, semua produk makanan di pasaran hendaklah mematuhi semua kehendak pelabelan yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta Makanan 1983.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peraturan tersebut ditetapkan bagi memastikan produk makanan yang dipasarkan di pasaran tempatan selamat dimakan oleh pengguna serta tidak mengelirukan mereka.

"Jadi, mana-mana pembuat, pengimport, pengedar dan penjual yang tidak mematuhi subperaturan (1) Peraturan- Peraturan Makanan 1985 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,jika didapati bersalah," tegasnya.

Sehubungan itu, Nor Azimi mengingatkan kepada pembuat, pengimport, pengedar dan penjual supaya mematuhi segala kehendak pelabelan yang ditetapkan.

Tambah beliau, pengguna perlu bijak memilih makanan yang dijual dengan label yang lengkap dan tidak mengelirukan dari segi bahasa dan kandungan makanan.

Katanya, ini penting bagi memastikan pengguna membeli makanan yang selamat untuk dimakan.