'Najib beritahu saya fokus kepada projek usaha sama 1MDB-PSI'

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas hadir di Mahkamah Tinggi hari ini, bagi sambung bicara berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas hadir di Mahkamah Tinggi hari ini, bagi sambung bicara berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bekas pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahunya menerusi telefon supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengkaji transaksi lepas, dan hanya beri tumpuan kepada projek usaha sama (JV) yang dicadangkan antara dana kekayaan berdaulat (1MDB) itu dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Mohd Bakke, 68, berkata pesanan itu telah disampaikan oleh Najib sendiri selepas bekas perdana menteri itu selesai bercakap dengan ahli perniagaan yang sedang dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menerusi perbualan telefon semasa satu mesyuarat lembaga pengarah.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam yang mengetuai pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Saksi itu merujuk kepada satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB yang dihadiri beliau serta Jho Low pada 26 September 2009, dan Jho Low dikatakan menerima panggilan telefon daripada Najib ketika itu.

Mohd Bakke berkata walaupun beliau bimbang dengan beberapa isu yang dikaitkan 1MDB seperti US$700 juta yang didakwa diseleweng, Najib memberitahunya supaya tidak mengambil masa yang panjang untuk mengkaji transaksi sebelumnya.

"Najib memberitahu saya tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa melihat urus niaga lepas, dan hanya melihat cadangan JV, kerana perkara itu telah dibincangkan sejak sekian lama, dan kami perlu membuat keputusan secepat mungkin,” kata saksi itu.

Mohd Bakke berkata bahawa disebabkan kata-kata Najib, beliau kemudiannya berasa cukup selesa untuk menyampaikan pesanan itu kepada ahli lembaga pengarah yang lain untuk meneruskan usaha sama berkenaan.

Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju bahawa Jho Low mempunyai kawalan penuh ke atas pengurusan 1MDB kerana pihak (pengurusan) menerima arahan daripadanya walaupun Jho Low tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam syarikat berkenaan.

Kepada soalan bagaimana saksi itu boleh beranggapan bahawa Jho Low mewakili Najib, Mohd Bakke berkata ia bukan sekadar tanggapan, kerana beliau pernah bertemu Jho Low di pejabat Najib semasa beliau menjadi menteri pertahanan, dan juga ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri di Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Pada penghujung prosiding hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan berkata beliau berasa seperti "berada di Mahkamah Keadilan Collin" disebabkan gaya pemeriksaan balas Muhammad Shafee terhadap saksi yang menyentuh isu lebih berkaitan dengan kes rasuah 1MDB, dan bukannya kes laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini berkata demikian sebagai merujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan kes rasuah RM2.3 bilion 1MDB yang melibatkan Najib.

Muhammad Shafee kemudiannya berkata isu panggilan telefon itu dibangkitkan oleh ketua pendakwa raya Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa prosiding lepas dan pihak pembelaan berhak menyoal saksi mengenai perkara itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 45, didakwa bersubahat dengan Najib membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) serta 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 12 April. - Bernama