Kes Zahid: Bekas SUB KDN terima 26,000 Riyal dari 'Wan Badak'

AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID
A
A
A

SHAH ALAM- Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau menerima 26,000 Riyal daripada pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (Wan Badak) ketika mereka berada di Arab Saudi.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Shahril Ismail ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam kes rasuah Visa Luar Negara (VLN).

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah beliau ada menerima tunai dalam mata wang Arab Saudi 26,000 Riyal daripada ‘Wan Badak’, saksi itu menjawab: "Ada, tetapi tujuan untuk menukar duit.”

Ahmad Zaidi: Saya rujuk satu dokumen yang telah dibekalkan oleh pendakwaan kepada kami (pembelaan) dalam bundle 51A berkenaan kes ini, rujuk dokumen (buku 555 atau buku ‘faraid’) yang telah dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia pada November 2015, bersesuaian dengan apa yang Datuk beritahu tadi, Datuk pergi mengerjakan umrah. Ada mencatatkan ‘Mode cash kepada Wan Badak, Jumlah 26,000 Riyal, remark Syahril SUB’. Ini catatan Wan Quoris, Datuk setuju?

Shahril: Setuju.

Ahmad Zaidi: Bila datuk mula terlibat dengan proses lanjutan kontrak UKSB, boleh saya katakan dari mula surat itu dihantar ?

Shahril: Ya, dari mula ia (surat) dihantar.

Shahril turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa beliau ada menerima wang RM14,000 daripada Wan Quoris Shah pada 25 Okt 2016 iaitu tarikh sama surat tersebut dihantar kepada bahagiannya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau menafikan beberapa transaksi berjumlah antara RM19,000 dan RM28,000.

Sebelum ini, media ada melaporkan SPRM ada merampas satu buku ‘faraid’ milik UKSB yang merekodkan pembayaran kepada pihak tertentu.

Ditanya Ahmad Zaidi lagi, di dalam dokumen sama (buku ‘faraid’) menyatakan ‘remark cash RM100,000 dan RM50,000 kepada KJ’, beliau menjawab "Ya”.

Ahmad Zaidi: KJ itu Khairy Jamaluddin, yang sekarang Menteri Kesihatan?

Shahril: Ya

Ahmad Zaid: Ia juga menyatakan 70,000 SGD kepada FM. FM merujuk kepada Foreign Minister?

Shahril: Tidak pasti

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Shahril menjelaskan beliau ke Arab Saudi selepas dipanggil seorang bekas pegawai KDN yang juga merupakan orang kampungnya.

"Di situ ada sekali Wan Quoris Shah, masa itu saya memang mahu mengerjakan umrah. Wan Quoris Shah tawarkan kepada saya, jika saya mahu menukar mata wang Riyal.

"Saya beranggapan untuk ditukar, saya membawa RM10,000 untuk menukar dengan Riyalnya tetapi dia enggan mengambil wang saya,” katanya.

Ditanya Raja Rozela, adakah wang 26,000 Riyal itu berkaitan dengan kontrak-kontrak UKSB atau kerja-kerja rasmi? Shahril menjawab: "Tidak, kerana ketika itu saya baru sahaja masuk (KDN).”

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 10 Mei depan. - Bernama