Fadhlina Sidek umum tanding Ketua Wanita Pusat PKR

Tangkap layar video di siaran Facebook rasmi milik Fadhlinapada Jumaat.
Tangkap layar video di siaran Facebook rasmi milik Fadhlinapada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamal undang-undang, Senator Fadhlina Sidek mengumumkan akan bertanding sebagai Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti.

Beliau tidak mahu berpeluk tubuh memandangkan masyarakat kini berdepan dengan pebagai krisis negara, termasuk ekonomi dan kesihatan.

“Di saat kita mengurus kepincangan-kepincangan di dalam masyarakat, urus tadbir negara yang sepatutnya menjadi payung utama rakyat telah dirompak dan dicabul atas nama demokrasi.

“Ketika golongan rentan sedang bertarung dengan krisis kesihatan, kemiskinan multidimensi dan isu-isu ekonomi menjerut rakyat, kumpulan-kumpulan yang mencalar nama reformasi telah membuka karpet merah serta membentangkan karpet merah untuk pasukan kleptoktrat kembali.

“Segunung kemarahan sekalipun terhadap kelompok ini tidak akan membetulkan kebobrokan, tetapi perkara ini hanya dapat diubah disenergikan dengan lebih ramai pemimpin masyarakat tampil berani ke hadapan sebagai peneraju dan serta katalis perubahan,” katanya dalam video siaran di Facebooknya, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Fadhlina yakin dan percaya rakyat masih lagi menanti-nantikan rejuvenasi dalam struktur PKR.

Menurutnya, semua pihak dan rakan-rakan perlu komited serta berani tampil ke hadapan bagi memperkukuh bahtera PKR dalam menempuh semboyan pilihan raya yang akan datang.

“Bertitik tolak pada keyakinan, saya percaya pemilihan ini akan berlangsung dengan penuh tertib, penuh dengan keyakinan sivil, matang dan penuh harmoni serta tinggi dengan semangat setia kawan di mana semua anggota PKR berhak melaksanakan proses kesaksian itu memilih pemimpin mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir seluruh kekuatan, potensi di dalam parti perlu dirangkul bersama dengan kekuatan yang sama,” ujarnya.