Dua sindiket edar dadah tumpas libat rampasan RM1.2 juta

Mohd Shuhaily (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam kesemua serbuan dijalankan bermula 28 hingga 31 Mac lalu.
Mohd Shuhaily (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam kesemua serbuan dijalankan bermula 28 hingga 31 Mac lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang mempunyai rangkaian antarabangsa melibatkan dadah bernilai RM1.2 juta di beberapa kawasan di negeri ini antara 28 hingga 30 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 11 serbuan dengan 11 tangkapan termasuk dua wanita ditahan dalam operasi melibatkan pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Barat Daya, Pasukan Marin Wilayah Satu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu.

Menurutnya, sebanyak 184.65 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dirampas.

Kata Mohd Shuhaily, dalam dua serbuan pada 28 dan 29 Mac lalu, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing di kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

"Suspek pertama berusia 35 tahun yang merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai nelayan ditahan di atas bot di Tanjung Asam pada jam 11 malam. Sementara itu, suspek kedua berusia 44 tahun yang bekerja sebagai mekanik ditahan di kawasan berhampiran pada jam 1 pagi, 29 Mac lalu.

"Dengan penahanan kedua-dua ahli sindiket pengedaran dadah itu, kita berjaya merampas 20 bungkusan mengandungi 21,020 gram syabu bernilai RM756,720," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Katanya, hasil siasatan mendapati, sindiket berkenaan peroleh bekalan dadah daripada negara jiran sebelum mengedar di pasaran tempatan.

"Ketika diserbu, bekalan dadah berkenaan baru dibawa masuk daripada negara jiran. Sindiket ini bergiat aktif sejak awal tahun ini. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 105,100 penagih sekiranya terlepas di pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian air kencing suspek pertama positif syabu manakala suspek kedua negatif. Suspek pertama turut mempunyai rekod dadah. Selain dadah, kita turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM10,000.

"Jumlah keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM766,720. Kedua-duanya direman sehingga 4 April ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM1.2 juta.
Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM1.2 juta.

Sementara itu, dalam siri serbuan kedua, polis menahan tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan di beberapa lokasi termasuk Sungai Petani, Kedah pada 30 Mac lalu.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua yang ditahan dalam operasi terancang berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran ganja.

"Tangkapan pertama melibatkan seorang penganggur bersama 980 gram ganja dan kemudiannya menyerbu sebuah rumah di sini lalu merampas 8.55kg. Ujian air kencing suspek positif ganja. Susulan daripada itu, kita menahan seorang wanita bekerja sebagai jurujual di Jalan Bagan Jermal.

"Kita seterusnya menyerbu sebuah kedai gunting rambut di Lebuh Pantai Sungai Pinang 1 dan menahan seorang lelaki yang juga tukang gunting rambut. Di situ, kita merampas 153kg ganja yang disembunyikan di dalam stor di premis itu," katanya.

Tambahnya, serbuan selanjutnya adalah di sebuah rumah flat di Jelutong dan menahan seorang suspek lelaki.

"Tiada rampasan dibuat bersama tangkapan dan seterusnya kita serbu sebuah lagi rumah juga di Jelutong dan menahan seorang lelaki bersama 450 gram ganja.

"Serbuan seterusnya di Sungai Petani, Kedah dan kemudiannya di kawasan berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum menahan dua lelaki iaitu mekanik serta kerani bank. Tangkapan terakhir adalah seorang pesara wanita di Lebuh Light tanpa rampasan dadah. Kesemua mereka adalah ahli sindiket pengedaran yang aktif sejak November tahun lalu," katanya.

Katanya, siasatan mendapati 164 ketulan mampat ganja seberat 163.64 kg itu dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan darat untuk pasaran sekitar negeri ini.

"Daripada sembilan individu yang ditahan itu, tiga lelaki dan seorang wanita positif dadah dengan empat lagi mempunyai rekod dadah serta jenayah.

"Semua suspek direman sehingga 6 April ini dan kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.