Video penyanyi seksi tular di Terengganu akan disiasat

Mohd Nor Hamzah
Mohd Nor Hamzah
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Pihak berkuasa Terengganu akan membuat lawatan mahabbah (siasatan awal) ke lokasi yang diadakan satu majlis bertemakan ‘Arabian Dangdut Night’ yang video nyanyian seorang individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi pada majlis itu tular dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata siasatan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada penganjur mengenai video nyanyian itu.

"Kita bersedia mendengar penjelasan mereka...takut ada kelemahan tertentu sehingga berlakunya perkara tersebut,” katanya mengulas mengenai video berdurasi 25 saat yang memaparkan nyanyian individu terbabit di sebuah hotel di Kuala Terengganu pada 25 Mac lepas yang tular sejak semalam.

Beliau berkata setiap penganjur program perlu mengikut peraturan termaktub dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti yang dijalankan adalah mengikut syariat Islam.

Mohd Nor berkata garis panduan yang mula diperkenalkan pada 2020 itu mempunyai perincian yang lengkap dalam penganjuran acara hiburan, kebudayaan, pelancongan dan sukan hasil perbincangan pelbagai pihak termasuk mufti, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

"Kita beri ruang untuk mereka dengar penjelasan (mengenai garis panduan)...lawatan (siasatan awal) itu nanti adalah sebagai penilaian sama ada perbuatan tersebut memang disebabkan kesilapan penganjur yang terlepas pandang mengenai garis panduan itu atau mempunyai niat lain untuk melakukan tindakan provokasi.

"Terengganu memang ada garis panduan kecuali ia berlaku disebabkan tindakan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana apabila kerajaan negeri ambil tindakan akan dikatakan Terengganu ini bertindak 'kasar dan keras' sedangkan kita hanya mahu memelihara keharmonian di Terengganu.

"Dalam hal seperti ini (hiburan yang tidak mematuhi garis panduan), rakyat Terengganu pun marah bukan pemimpin sahaja, jangan cetuskan kemarahan rakyat Terengganu kerana sentimen agama sangat tinggi di negeri ini. Apa pun, kita akan dengar dulu penjelasan pihak yang terlibat," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan program Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu FM sempena Hari RTM ke-76 di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Penyiaran Negeri Terengganu Sabri Mansor berkata program tersebut diharap dapat merapatkan lagi hubungan kakitangan RTM Terengganu dan masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya demonstrasi kebakaran, demonstrasi ular, pertandingan mewarna, pameran agensi-agensi dan persembahan artis. - Bernama