Kuatnya orang Melayu

A
A

BEBERAPA hari lepas ketika saya menghadiri satu ceramah oleh Brother Lim, ada seorang hadirin bertanyakan soalan. Memandangkan Brother Lim seorang mualaf yang telah lama memeluk Islam, maka soalan yang ditanya adalah seperti berikut:

“Bro Lim, apakah pandangan Bro terhadap Islam atau Melayu sebelum memeluk Islam?"

“Ah, soalan yang bagus, sebelum saya memeluk Islam, saya agak keliru juga dengan orang Melayu Islam. Kenapa orang Islam tidak boleh makan babi? Haram katanya. Dan juga kenapa orang Islam apabila marah, selalu sahaja suka maki hamun menggunakan perkataan babi. Apa salah babi sebenarnya?” kata Brother Lim.

Kemudian Brother Lim menyambung lagi,

“Sebenarnya antara perkara yang saya kagum tentang orang Melayu Islam ini ialah, pertama, budayanya yang menghormati orang tua. Bila anak-anak berjumpa ibu bapa atau orang tua, mereka akan bersalam dan cium tangan.

"Saya sebagai orang Cina tidak pernah pun cium tangan atau peluk mak bapak saya. Sekarang saya ada 10 orang anak. Bila berjumpa mereka, maka penuh air liur di muka saya dicium oleh anak-anak.

"Yang kedua pula, orang Melayu Islam ni bila ada kenduri-kendara, mesti datang bantu dan bergotong-royong. Orang Cina kalau buat majlis tak ada pula nak bergotong-royong dan bantu-membantu.

"Itu antara pandangan saya sebagai orang Cina sebelum Islam, iaitu keliru dan pada masa sama kagum dengan budaya yang pentingkan budi bahasa. Jadi saya berharap orang-orang Melayu Islam kekalkan budi bahasa yang hebat ini.’’

Bercakap tentang budi bahasa, sebenarnya memang orang Melayu kaya budi bahasa. Buktinya banyak pantun dan peribahasa tentang perilaku budi bahasa orang Melayu lama kita dicipta.

Pantun-pantun dan peribahasa ini sangat bersopan-santun. Menegur dengan tersirat dan tersurat. Halus budi bahasanya walaupun ada unsur-unsur menyindir.

Menurut Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam syarahan yang disampaikan oleh beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 4 Disember 2009 menerusi tajuk “Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu “ menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai kebijaksanaan dalam memanipulasikan setiap kata dan gaya hidup mereka dalam pantun.

Masyarakat Melayu ini merupakan masyarakat yang mempunyai daya fikir yang amat tinggi. Mereka mencipta serta mendedahkan rasa melalui pantun yang diciptanya.

Dalam buku Kurik Kendi Merah Saga, banyak juga memaparkan pantun-pantun bertema budi bahasa. Antara yang biasa kita dengar: ‘Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua.’

Berkenaan lokasi Pulau Pandan dan Gunung Daik bercabang tiga ini, hendaklah orang bijaksana sekarang mengkaji. Kenapa menggunakan lokasi itu, dan apa kaitannya? Mungkin ada sejarah yang perlu digali di sebalik pantun ini.

Selain itu ada lagi pantun yang menggunakan latar belakang Pulau Daik, iaitu ‘Pulau Daik banyak kelapa, Pulau Karimon banyak pegaga; Budi baik payah dilupa, Beribu tahun dikenang juga.’

Pantun-pantun ini sebenarnya menggambarkan tentang sifat-sifat orang Melayu yang sentiasa mengenang budi dan juga menggalakkan orang lain supaya berbudi bahasa. Ia memberi galakan supaya sentiasa bersifat terbuka dan menerima sesiapa sahaja jika ada yang memerlukan pertolongan.

Walaupun pantun-pantun ini menunjukkan perilaku orang Melayu berbudi bahasa janganlah diambil kesempatan pula. Jika diambil kesempatan maka berdukacita pula orang Melayu kita. Jika sudah berdukacita, boleh mendatangkan marah apabila budi yang baik tidak dikenang. Maka hendaklah berhati-hati pada sesiapa yang tidak mengenang jasa-jasa orang Melayu.

Orang Melayu ini juga mempunyai pantun-pantun yang hebat dan pantang dicabar apabila kepala dipijak, kaki disandung, belakang dicucuk dan apabila perut panjang sejengkal pula.

Seperti pantun ini: “Jangan dibakar antan kayu, Antan tidak dimakan api; Jangan dicabar jantan Melayu, Jantan Melayu tak takut mati”. Pantun begini biasanya dipanggil pantun petalangan yang bermaksud telah direndah-rendahkan darjatnya.

Selain pantang dicabar dan berani, orang Melayu juga ada pantun yang menggambarkan kekuatan. Orang-orang muda zaman teknologi pesat ini mungkin tidak tahu atau menaruh minat terhadap pantun lama. Maka perlulah mengambil tahu juga tentang kehebatan bahasa orang tua bijaksana dahulu kala sebagai khazanah berharga.

Bangsa Melayu pernah kuat, Buka tanah guna tulang empat kerat, Masih sempat beristeri empat, tongkat ali jamu khasiat.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.