Pejabat KWSP jadi tumpuan

Pejabat KWSP Temerloh menjadi tumpuan pencarum yang ingin mengeluarkan caruman mereka menerusi pengeluaran khas bermula Isnin. Dari kiri : Roziah Mat Piah, Faridah Jamaluddin,K Devarajs dan Azman Che Abdullah.
Pejabat KWSP Temerloh menjadi tumpuan pencarum yang ingin mengeluarkan caruman mereka menerusi pengeluaran khas bermula Isnin. Dari kiri : Roziah Mat Piah, Faridah Jamaluddin,K Devarajs dan Azman Che Abdullah.
A
A
A

TEMERLOH- Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Temerloh menjadi tumpuan orang ramai berikutan permohonan pengeluaran khas bermula pada Isnin.

Difahamkan pencarum beratur dari hadapan sehingga ke belakang premis bagi menunggu giliran sejak jam 7.30 pagi untuk menyelesaikan proses permohonan masing-masing.

Turut kelihatan beberapa kakitangan KWSP membantu pencarum di luar premis untuk proses tersebut.

Bagi seorang peniaga kecil, Roziah Mat Piah, 45, dari Bera memberitahu, dia datang ke pejabat KWSP bagi tujuan mengemas kini nombor telefon yang baharu.

"Saya berharap proses berjalan lancar pada hari ini dan tujuan saya mengeluarkan KWSP kali ini untuk menambahkan modal perniagaan sambal.

"Pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan operasi perniagaan terjejas.

"Peluang diberikan ini memang ditunggu selama ini dan lega kerana akhirnya dibenarkan untuk membantu rakyat yang terkesan," katanya.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Azman Che Abdullah, 51, mengambil peluang melakukan pengeluaran itu bagi tujuan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Syukur akhirnya penantian selama ini terjawab dan lega kerana akhirnya ia dibenarkan.

"Saya pun baru sahaja tiba di pejabat dan memang jangka orang ramai beratur melakukan urusan," jelasnya.

Bagi seorang pemandu lori, K Devarajs, 30, menjelaskan pengeluaran tersebut digunakan untuk keperluan harian selain menjelaskan beberapa pinjaman.

"Saya baru dua bulan dapat kerja dan pendapatan banyak terjejas.

"Saya datang ke pejabat KWSP kerana tidak berapa pandai guna dalam talian," akuinya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Faridah Jamaluddin, 46, turut mahu melakukan proses mengemas kini nombor telefon selain berharap permohonan berjalan lancar.

"Ia digunakan untuk keperluan harian dan keluarga dan amat menghargai pengeluaran ini dibenarkan," jelasnya.