Industri pelancongan Sabah sedia terima kemasukan pelancong

Industri pelancongan Sabah bersedia menerima kemasukan pelancong asing berikutan pembukaan sempadan negara bermula pada Jumaat. (Gambar kecil: Hajiji)
Industri pelancongan Sabah bersedia menerima kemasukan pelancong asing berikutan pembukaan sempadan negara bermula pada Jumaat. (Gambar kecil: Hajiji)
A
A
A

KOTA KINABALU - Industri pelancongan Sabah bersedia untuk menerima kemasukan pelancong asing berikutan pembukaan sempadan negara bermula pada Jumaat, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Menurutnya, pembukaan sempadan itu amat dialu-alukan kerajaan Sabah dan memberikan kelegaan terutama kepada industri pelancongan negeri yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

"Seperti negara lain, pandemik itu telah memberi kesan kepada Sabah dan banyak pemain industri negeri ini terpaksa menutup operasi mereka terutama akibat penutupan dan kekangan penerbangan masuk dan keluar Sabah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi meringankan beban pemain industri itu, kerajaan negeri telah menyalurkan geran berjumlah RM10 juta yang memberi manfaat kepada 500 pemain industri termasuk bantuan kewangan kepada hotel, operator pelancongan, pemandu pelancong dan agensi pelancongan.

"Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah untuk pelancong dalam dan luar negara dalam mempromosikan pelancongan termasuk bersedia terhadap perubahan dalam industri itu dalam situasi fasa peralihan ke endemik ini

"Untuk masa hadapan pemain industri pelancongan mesti bersifat inovatif, sedia untuk berubah dan bersedia untuk mengadaptasi pendekatan baharu dalam mengatasi pelbagai kekangan yang dihadapi termasuk situasi negara pada masa ini dalam peringkat peralihan ke endemik," ujarnya..

Sementara itu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) pula memperhebat pemantauan serta kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang bakal kembali menjadi tumpuan pelancong asing.

Komander ESSCom DCP Hamzah Ahmad berkata, pelbagai operasi dilaksanakan ketika ini termasuk operasi gasak, operasi cegah pendatang di laut, selain penugasan harian di pusat pemeriksaan daratan di Kalabakan serta Sapi Nangoh.

Artikel Berkaitan:

"ESSCom siap siaga mengambil sebarang langkah keselamatan jika perlu," katanya. Bernama