KDN cadang bentang semula usul Subseksyen Sosma

Hamzah ketika sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama 10 pertubuhan bukan kerajaan NGO berkaitan lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Sosma 2012 di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Hamzah ketika sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama 10 pertubuhan bukan kerajaan NGO berkaitan lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Sosma 2012 di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dibentangkan sekali lagi sebelum 31 Julai ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan berbincang semula dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menentukan cara pelaksanaannya.

Hamzah berkata, pihaknya juga akan mencadangkan Sidang Khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai iaitu tarikh akhir tamat tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) nanti, bagi membincangkan usul pelanjutan itu selepas ia dibawa semula ke Dewan Rakyat.

“Kita akan berbincang semula dengan kedua-dua Yang Dipertua sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk menentukan bagaimana untuk lakukan ini semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat.

Sebanyak 10 NGO hadir memberi sokongan kepada KDN berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) Akta Sosma 2012.

Sebelum ini, usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal mendapat undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Kegagalan kerajaan itu juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kekalahan kerajaan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini adalah mengenai usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) akta tersebut.

Jelasnya, pelanjutan subseksyen itu bagi memberi instrumen siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahanan mengikut Sosma.

“Ia hanya memerlukan satu prosedur yang diberikan kepada polis, siasatan mesti dibuat dalam masa 28 hari. Itu sahaja.

“Jadi, kalau dah tak ada Subseksyen 4(5) ini, apa instrumen yang ada pada PDRM? Tangkap melalui akta itu tetapi instrumennya tak ada.

“Sebab itu kita perlukan lanjutan. Itu supaya kita berikan semula pada PDRM. Ini orang tak faham. Apabila kita ada akta tetapi tak ada instrumen apa gunanya,” ujarnya.