Pahang sentiasa semak dan imbang GLC

Wan Rosdy pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Jumaat.
Wan Rosdy pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi jaminan semak dan imbang sentiasa boleh dilakukan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pahang sekiranya syarikat terlibat tidak diaudit Jabatan Audit Negara.

.Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja audit boleh dilaksanakan sama ada secara dalaman atau audit luar bagi memastikan wujudnya akauntabiliti dan ketelusan.

"Kita (kerajaan Pahang) boleh mengarahkan forensik audit untuk menjalankan audit jika terdapat keperluan berbuat demikian bagi memastikan tiada ketirisan berlaku.

"Anak syarikat yang dirasakan perlu (diaudit) terutamanya syarikat yang tiada keuntungan, kita akan mengarahkan forensik audit untuk memastikan tiada salah guna kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Jumaat bagi menjawab soalan tambahan Chiong Yoke Kong (PH-Tanah Rata) yang ingin tahu bagaimana semak dan imbang boleh dilakukan jika tiada audit oleh Jabatan Audit Negara dilakukan kepada sesetengah syarikat.

Mengulas lanjut, Wan Rosly menjelaskan syarikat yang baru ditubuhkan ini akan menjalani audit dan semakan selepas ia selesai beroperasi mengikut tempoh yang ditetapkan bagi tujuan tersebut.

“Syarikat-syarikat ini adalah berdaftar yang mendapat kelulusan dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Selain mempercepatkan sesuatu proses dan mengurangkan birokrasi, ia ada check and balance, jadi mudah untuk kita mengawal kerana ada satu badan yang mengawal apa jua kerja-kerja yang dilakukan semua syarikat terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, fungsi Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd yang menjadi One Stop Centre (OSC) bagi menguruskan tanah rizab Orang Asli yang berpotensi dari segi aktiviti ekonomi dalam memberi manfaat yang optimum kepada masyarakat itu di negeri ini.

“Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd pula berperanan sebagai Agensi Penyelaras Koridor Utiliti Negeri (Pengurusan Infrastruktur Utiliti) yang mendapat perlantikan daripada Kerajaan Negeri.

“Pahang Go Sdn Bhd menjadi One Stop Centre (OSC) kepada aplikasi perkhidmatan digital online seperti sistem e-parkir, aplikasi pembayaran hasil kerajaan, pembayaran kompaun, kutipan caj utiliti, sistem aduan rakyat dan sebagainya,” katanya.