Fasa peralihan ke endemik, SOP perlu diamalkan

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai bahawa negara kini hanya berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, dan belum lagi memasuki fasa endemik.

Justeru, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini masih perlu diamalkan bagi memastikan Malaysia dapat beralih ke fasa berikutnya dengan lebih selamat.

Menurutnya, semasa fasa peralihan ke endemik, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

"Pengurusan pandemik Covid-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi kerajaan seperti SOP dan undang-undang kepada keprihatinan kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengenai jumlah kes baharu Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, negara berada di bawah paras 20,000 selama lima hari berturut-turut dengan 18,560 kes dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes baharu kini 4,201,919 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 18,435 kes atau 99.33 peratus adalah kategori satu dan dua manakala 0.67 peratus atau sebanyak 125 kes adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

"Kes sembuh Covid-19 mencatatkan 18,253 kes semalam, menjadikan kes kumulatif sembuh direkodkan dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 3,960,082 kes," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, tiada kluster baharu Covid-19 dilaporkan semalam dan sebanyak 198 kluster didapati masih aktif setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt di seluruh negara yang dicatatkan semalam adalah 0.87 dengan Selangor merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.06 manakala kadar paling rendah dicatatkan di Sabah iaitu 0.64.

Katanya, tiga negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus dengan tertinggi di Kuala Lumpur pada tahap 57 peratus, diikuti Perlis (55 peratus), dan Selangor (50 peratus). - Bernama