Rumah jadi stor simpan mercun

Abdul Latif (tengah) menunjukkan antara mercun yang dirampas Kastam semasa Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) Kastam Zon Tengah Unit II di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat, pada Jumaat.
Abdul Latif (tengah) menunjukkan antara mercun yang dirampas Kastam semasa Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) Kastam Zon Tengah Unit II di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mengenal pasti taktik kegiatan penyeludupan dan penjualan mercun yang menjadikan rumah sebagai stor simpanan sebelum dijual kepada pembeli.

Dedah Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api ini dikesan dibuat dalam skala yang besar menjelang setiap musim perayaan.

Katanya, pelbagai cara dikesan dilakukan penyeludup termasuklah menggunakan laluan udara iaitu khidmat syarikat kurier, laluan darat dan laut termasuklah jalan-jalan tikus.

"Berdasarkan informasi yang diterima, ada juga yang membawa dalam jumlah kecil sebelum dikumpulkan di satu tempat hingga menjadi kuantiti yang banyak.

"Modus operandi penyeludup juga adalah menjadikan rumah kediaman sebagai stor untuk menyimpan barang larangan (mercun) itu sebelum dijual menerusi aplikasi media sosial, bersemuka atau pun melalui kenalan," katanya kepada pemberita selepas Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) Kastam Zon Tengah Unit II di Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini pada Jumaat.

Antara mercun yang dirampas Kastam dalam beberapa siri serbuan tahun ini.
Antara mercun yang dirampas Kastam dalam beberapa siri serbuan tahun ini.

Justeru, Kastam akan melaksanakan Ops Mercun termasuklah pemeriksaan rutin di bazar Ramadan bagi mengesan penjualan mercun dan bunga api tanpa permit.

Katanya, jika ada kesalahan dikesan, tindakan akan diambil di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, orang ramai digesa salurkan maklumat kepada Kastam untuk memerangi jenayah penyeludupan bukan sahaja mercun, tapi rokok, minuman keras, dadah dan kenderaan dengan menyalurkan maklumat di Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau di pejabat kastam terdekat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, pihaknya tidak tolak kemungkinan berlaku kegiatan penyeludupan yang mengambil kesempatan ketika negara memasuki fasa endemik pada 1 April.

"Penyeludupan ada dikesan walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apatah lagi dibuka sempadan dan kita ambil kira kemungkinan ini dan penyeludupan akan berlaku sama ada skala besar atau tidak," ujarnya.

Tegasnya, pihaknya telah bekerjasama dengan banyak agensi termasuklah kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Petugas Kebangaaan (NTF) sebagai siap siaga berdepan fasa endemik.