Covid-19: Petunjuk baik jangkitan semakin terkawal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dengan kes harian baharu Covid-19 sekitar belasan ribu sejak hampir seminggu lalu dan kes sembuh yang kekal tinggi, pasti ia petanda permulaan baik fasa peralihan ke endemik untuk Malaysia.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Ro/Rt) juga menurun bawah 1.00 dan pada Khamis berada pada paras 0.87.

Untuk rekod, Malaysia mencatat kes terendah sebanyak 13,336 kes pada 28 Mac 2022 dengan angka terendah sekitar 13,000 direkod pada tahun 2022 iaitu pada 8 Februari (13,944 kes).

Pada Khamis, sebanyak 18,560 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan kes kumulatif sebanyak 4,201,919 kes dan daripada jumlah itu, Selangor menyumbang sebanyak 10,735 kes.

Selain Selangor, bilangan negeri yang mencatat kes harian tinggi juga menurun dan cuma sembilan (9) kluster baharu dilaporkan sepanjang tempoh 26 Mac hingga 31 Mac 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu mengumumkan fasa peralihan ke endemik sebagai 'exit strategy' untuk membolehkan rakyat negara ini kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Fasa ini juga fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik dan pengumuman mengenainya hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Artikel Berkaitan:

Dengan kes kumulatif sebanyak 4,201,919, Malaysia kini di tangga 23 daripada 225 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19 manakala di hadapan Malaysia ialah Australia (4,514,213) dan Ukraine (4,966,800).

Dalam kalangan 225 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Korea Selatan mencatat angka kes harian baharu tertinggi pada Khamis iaitu 320,675 kes dengan 375 kematian, diikuti Jerman 257,768 kes (303 kematian) dan Perancis 169,311 kes (139 kematian).

Sementara itu, data CovidNow KKM setakat jam 11:59 malam pada Khamis menunjukkan kes aktif Covid-19 dalam negara sebanyak 206,854 kes dan daripada jumlah itu sebanyak 201,420 kes (97.4 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 646 kes (0.3 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 4,521 kes (2.2 peratus) di hospital; 103 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 164 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar pada Jumaat, daripada 18,560 kes harian baharu direkod pada 31 Mac, kategori 1 sebanyak 9,473 kes (51.04 peratus); kategori 2 sebanyak 8,962 kes (48.29 peratus); kategori 3 sebanyak 47 kes (0.25 peratus); kategori 4 sebanyak 37 kes (0.20 peratus) dan kategori 5 sebanyak 41 kes (0.22 peratus).

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5 manakala kategori 4 pula untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 bagi individu yang menghidap radang paru-paru serta kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 18,253 kes sembuh pesakit Covid-19, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 3,960,082 (94.2 peratus).

Sebanyak 128 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat Khamis dan 79 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang tempoh seminggu ini pula kekal bawah paras 1.00 dengan negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi pada 31 Mac 2022 adalah Selangor (1.06).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Dalam pada itu, jumlah kluster aktif dalam negara setakat Khamis adalah 198 kluster menjadikan keseluruhan 6,932 kluster dikesan dan 6,734 daripadanya ditamatkan.

Sepanjang tempoh 26 Mac hingga 31 Mac 2022 hanya sembilan (9) kluster baharu direkod, iaitu empat (4) kluster pendidikan (44.44 peratus), empat (4) kluster berisiko tinggi (44.44 peratus) dan satu (1) kluster pendidikan (11.11 peratus). - Bernama