Penggunaan lima pemain gantian diperkenal semula musim depan

Liga Perdana Inggeris akan memperkenalkan semula peraturan penggunaan lima pemain gantian pada setiap perlawanan liga bagi musim 2022-23.
Liga Perdana Inggeris akan memperkenalkan semula peraturan penggunaan lima pemain gantian pada setiap perlawanan liga bagi musim 2022-23.
A
A
A

LIGA Perdana Inggeris akan memperkenalkan semula peraturan penggunaan lima pemain gantian pada setiap perlawanan liga bagi musim 2022-23.

Badan pengelola liga itu dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara tersebut dipersetujui semua kelab selepas satu undian yang dilakukan pada Selasa.

"Semua kelab yang terlibat telah bersetuju untuk membenarkan penggunaan lima pemain gantian bagi mengharungi setiap perlawanan pada musim hadapan.

"Pertukaran pemain boleh dilakukan pada tiga keadaan sepanjang perlawanan dan tidak termasuk ketika rehat apabila kelab boleh menyenaraikan sembilan pemain gantian.

"Selain itu setiap pasukan juga dibenarkan untuk menyenaraikan sembilan pemain untuk disenaraikan di bangku simpanan," kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, kelab liga utama Eropah dibenarkan menambah jumlah pemain gantian daripada tiga kepada lima pemain bagi setiap perlawanan pada kempen 2019-20 ketika aksi liga disambung semula pada Jun, selepas ditangguh selama tiga bulan akibat pandemik Covid-19.

Untuk rekod, Liga Perdana Inggeris merupakan satu-satunya liga utama di Eropah yang tidak meneruskan lima pemain gantian dari musim 2020-21, walaupun ramai pengurus menyuarakan kebimbangan mengenai keletihan pemain.

Dalam kenyataan yang sama, Liga Perdana turut mengumumkan peraturan baharu yang mana ujian Covid-19 ke atas pemain dan pegawai pasukan akan dilakukan dua kali seminggu mulai Isnin ini dengan saringan akan dilakukan terhadap individu bergejala.

Artikel Berkaitan:

"Kesihatan pemain dan pegawai pasukan menjadi keutamaan dan Liga Perdana akan terus memantau situasi Covid-19," katanya sambil turut memberitahu jendela perpindahan pemain akan dibuka pada 10 Jun dan berakhir pada 1 September.