Tak sangka diterima berlakon sebab rendah, kecil

Juara Cameo Gegar 2019, Fadhli Masoot
Juara Cameo Gegar 2019, Fadhli Masoot
A
A
A

PERTANDINGAN Cameo Gegar 2019 anjuran jenama radio Gegar, Permata Pantai Timur, berlangsung di Bukit Jalil Golf & Country Resort, telah menyaksikan Fadhli Masoot berjaya merebut takhta juara, Rabu lalu.

Dengan kemenangan anak muda berusia 25 tahun ini sekali gus menepis lima finalis lain dan bakal membintangi sebuah projek menerusi slot Mega drama Astro Ria.

“Sejujurnya saya masih lagi terkejut kerana tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang. Pada awalnya saya hanya masuk kerana dorongan kawan-kawan sahaja. Video pun dihantar pada saat akhir. Namun siapa sangka rezeki dan tuah.

“Sebelum ini saya tidak pernah menghadiri sebarang uji bakat kerana sedar fizikal rendah dan kecil. Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada radio Gegar dan Astro kerana memberikan saya peluang ini,” jelasnya.

Lima finalis terdiri daripada Muhammad Adli Badrudin, 27 selaku pemenang tempat kedua dan di tempat ketiga, Nor Fatin Farhana Che Rani, 22.

Diikuti pemenang tempat keempat iaitu Nur Ariani Maslan, 22, manakala tempat kelima serta keenam adalah Muhamad Fadhulhadi Zam Azman, 26, dan Anuar Hamizan Mat Alin, 23.

Sementara itu, ketika pengumuman dibuat oleh penyampai radio Shah dan Anna bagi tempat kelima, pengarah Michael Ang telah membuat kejutan dengan menawarkan Muhamad Fadhulhadi untuk berlakon dalam projek sitkomnya di slot Astro Warna.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Saya memang tak jangka akan ada tempat tetapi alhamdulillah diberi peluang untuk berlakon dalam sitkom arahan Michael, terkejut jugalah pada masa yang sama.

“Saya boleh anggap ini sebagai rezeki terpijak,” ujar Muhamad Fadhulhadi.

Terdahulu seramai enam finalis telah menjalani beberapa cabaran lakonan seperti berlakon secara solo mengikut watak dan karakter yang ditentukan oleh juri.

Selain itu mereka juga berlakon bersama pelakon terkemuka tanah air seperti Aril Pilus, Marsha Milan, Afieq Syazwan, Fieya Julia dan Elisha Sandha.

Bakat lakonan dan kreativiti persembahan yang ditonjolkan oleh finalis masing-masing dinilai oleh pengarah terkenal, Michael dan Penerbit Eksekutif Astro Ria, Sharifah Fatimahtuzzaharaa’ Syed Taha.

Menurut Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Raja Hisham, Cameo Gegar memberi pemenang utama peluang keemasan untuk muncul dan berlakon bersama artis terkemuka tanah air di slot Megadrama Astro selain bertujuan mendekatkan jenama radio Gegar dengan para peminatnya melalui media sosial sambil memberi semula penghargaan melalui program ini.

“Sambutan yang diterima begitu menggalakkan, lebih daripada 1,300 penyertaan.

“Awalnya kami senarai pendek kepada 20 orang kemudian enam orang sahaja menerusi penyertaan video lakonan yang dihantar pada awal Februari sehingga 13 Mac 2019 lalu menerusi laman sosial Instagram.

“Pelbagai video menarik dapat kami saksikan namun hanya yang terbaik sahaja dipilih,” jelasnya.