310 kanak-kanak di Malaysia lengkap divaksin setakat Khamis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 310 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat Khamis..

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sebanyak 1,329,638 kanak-kanak atau 37.4 peratus populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Menerusi PICKids yang dilancar pada 3 Februari lalu, kerajaan menetapkan selang masa selama lapan minggu antara dos pertama dengan kedua.

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,851,819 individu atau 91.7 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,948,197 atau 94.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 15,808,761 individu atau 67.2 peratus populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak dan 22,953,296 atau 97.6 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,228,967 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 57,199 dos vaksin pula telah diberikan pada Khamis melibatkan 6,788 suntikan pertama, 1,895 suntikan lengkap dan 48,516 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,909,031 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 44 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Khamis dengan Perak merekodkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes diikuti Selangor (11 kes), dan Johor sebanyak enam kes.

Selain itu, Pulau Pinang merekodkan sebanyak tiga kes kematian dikuti Kelantan, Terengganu dan Sabah yang mencatatkan dua kes manakala satu kes di Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel Berkaitan: