Warga Bangladesh miliki video lucah dipenjara

Warga Bagladesh, Halim Miah di bawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka atas tuduhan memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya, Februari lalu.
A
A

MELAKA TENGAH - Gara-gara menyimpan koleksi video lucah dalam telefon bimbit, seorang lelaki Bangladesh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Teoh Shu Yee, menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Halim Miah, 27, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Bangladesh.

Berdasarkan pertuduhan, Halim Miah didakwa memiliki rakaman video lucah yang tersimpan dalam telefon bimbit jenis Asus berwarna hitam, di Pejabat Agama Islam Melaka, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah, di sini, pada jam 3.30 petang, 9 Februari 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwaraya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang mengendalikan prosiding, mencadangkan kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman setimpal dan memberi pengajaran kerana satu kesalahan yang menjijkkan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman penjara yang rendah dan mahu segera dihantar pulang ke negara asal untuk bertemu keluarga dan anak-anak.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, Shu Yee memerintahkan tertuduh dipenjara setahun bermula dari tarikh tangkap iaitu 9 Februari lalu.