Kabinet perlu dirombak demi selamatkan aset negara: Abdul Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Perancangan kerajaan mahu melepaskan aset bukan teras dan bukan strategik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) termasuk syarikat penerbangan Malaysia (MAS) bukan penyelesaian kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya beliau menegaskan, Kabinet Pakatan Harapan (PH) sepatutnya dirombak bagi melantik barisan menteri baharu yang lebih berwibawa dan efisyen dalam mengurus tadbir negara demi kesejahteraan rakyat.

“Sepatutnya begitulah (rombak Kabinet kerajaan PH). Saya pernah cadangkan (wujudkan) kerajaan teknokrat, bukan semestinya ahli politik tetapi boleh lantik teknokrat.

“Tak percaya (Dr. Mahathir hilang kepercayaan pada barisan kabinetnya) itu satu hal. Yang penting kebolehan dan kepakaran. Baharu baharu ini timbul isu yang sijili palsu dan juga ijazah palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Rusila selepas berakhirnya kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan sedia ada sepatutnya menunjukkan kebijaksanaan mereka mentadbir negara dan bukan mengambil keputusan menjual aset negara sambil menyalahkan pihak lain.

"Itu sangat malanglah. Sepatutnya tak bolehlah jual aset itu. Orang Terengganu kata gadai akar. Tak boleh sampai taraf itu (jual). Sepatutnya kerajaan mesti menunjukkan kebijaksanaan dia.

"Jual aset ini bukan menandakan kebijaksanaan dan lebih banyak hendak menyalahkan kerajaan dahulu. Kerajaan dahulu ada salah kita tak nafi tapi kerajaan yang ada mestilah tunjuk dia lebih baik.

"Jangan menyalahkan orang saja....Tidak ada benda baharu, tiada boleh nak buat, tidak boleh nak selesai masalah, patutnya ada benda baharulah. Masa pilihanraya banyak benda janji nak buat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menegaskan, penjualan aset itu bukanlah jalan penyelesaiannya.

Dalam pada iru, Abdul Hadi juga Ahli Parlimen Marang itu mempersoalkan kemampuan kerajaan kerana gagal mencari penyelesaian untuk memulihkan semula syarikat syarikat milik kerajaan.

"Kalau syarikat bukan kerajaan pun boleh dipulihkan, tak akan syarikat milik kerajaan tidak mampu pulih, boleh pulih, apa lagi Kerajaan Pusat. Dia boleh tampung ambil yang untung beri kepada yang rugi.

"Boleh buat, dia (kerajaan) boleh buat itu. Pengurusan yang lemah. Sepatutnya dia perbaiki pengurusan dia dan lantik orang yang amanah yang sungguh amanah bukan namanya sahaja 'amanah'," katanya.

Disebabkan itu juga, Abdul Hadi melihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti keseorangan kerana mempunyai barisan Kabinet tiada pengalaman dan tiada kepakaran dalam bidang tertentu.

"Saya melihat Tun Mahathir seperti keseorangan dan beliau mempunyai barisan Kabinet yang tidak ada berpengalaman dan tidak pakar dalam bidang bidang tertentu.

"Contohnya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) lantik Tun Daim Zainuddin tidak lantik Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) kerana Menteri Kewangan tak mampu (itu) sebagai contohlah begitu juga hal hal yang lain.

"Dia (Tun Mahathir) keseorangan sehingga terpaksa mencari pembantu pembantu yang boleh menolong dia yang bukan dalam menteri kabinet," katanya.

Disebabkan itu, beliau bersetuju sekiranya Tun Mahathir merombak kabinetnya dan menyokong jika rombakan Kabinet itu dibuat bagi memperbaiki pengurusan kerajaan yang dilihatnya lemah.