Sila log masuk terlebih dahulu.

Keputusan Peter Anthony palsukan dokumen 26 Mei ini

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, dilepaskan atau disabitkan atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), akan diketahui 26 Mei depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan tarikh itu, selepas selesai mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

"Saya juga akan memberikan alasan penghakiman saya semasa menyampaikan keputusan itu,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram, manakala peguam S. Devanandan mewakili Peter.

Terdahulu, Devanandan berhujah bahawa berdasarkan keterangan Peter yang merupakan saksi pembelaan pertama (SD1) dan pembantu peribadinya Imy Christopher (SD2), surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan M&E di universiti berkenaan, tidak ditaip di pejabat syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd (AJESB) oleh saksi pendakwaan ketiga (SP3) Mohd Shukur Mohd Din.

Beliau berkata adalah tidak munasabah bagi pihak pendakwaan menyatakan bahawa 'tajuk' pada surat itu telah ditambah oleh Peter.

"Keterangan Nurul Aiman Azmail (SD3) pula dengan jelasnya menyatakan bahawa, sekiranya analisis forensik dijalankan ke atas 'hard drive' komputer, analisis itu akan menunjukkan sama ada deraf surat itu telah ditaip dalam komputer tersebut dan sama ada terdapat sebarang penambahan pada deraf tersebut,” kata peguam itu.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata Peter membuat pemalsuan ke atas surat yang ditaip Peter di pejabatnya dan Mohd Shukur dalam keterangannya menyatakan, beliau telah meninggalkan surat kosong yang mempunyai kepala surat (letter head) Timbalan Naib Canselor di pejabat Peter, dan keesokannya menerima surat yang telah siap dicetak daripada Peter yang mempunyai tarikh dan isi kandungan berserta tajuk.

Artikel Berkaitan:

"Kami memohon mahkamah merekodkan suatu dapatan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah,” katanya.

Peter, dikecualikan kehadirannya pada prosiding hari ini, mengikut Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) berikutan ahli politik itu menghadiri satu acara rasmi di Tenom, Sabah.

Pada 14 Disember tahun lepas, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Peter yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), memberi keterangan dari tempat saksi pada 9 dan 10 Februari lepas.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama