Pengeluaran khas RM10,000 tak jejaskan strategi pelaburan KWSP

KWSP
KWSP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemudahan pengeluaran khas RM10,000 tidak akan menjejaskan strategi pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2022, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, KWSP sentiasa mempunyai kapasiti untuk melaksanakannya, namun tumpuan sepanjang masa adalah untuk membantu ahli memulihkan simpanan selepas pengeluaran kerana penting untuk mereka mempunyai keseimbangan bagi persaraan jangka panjang.

"Skim tersebut telah dibenarkan oleh kerajaan dan ia akan dilaksanakan, KWSP akan menyokong sepanjang tempohnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Polisi Pelaburan Mampan KWSP dan Ikrar Pengurus Dana Luar di sini, pada Khamis.

Polisi tersebut dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Ahli KWSP boleh mula memohon bagi pengeluaran khas itu menerusi portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun bermula esok, 1 April.

Selain itu, Amir Hamzah berkata, KWSP amat yakin dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara yang ditetapkan esok dan akan boleh merangsangkan landskap pelaburan meliputi pelabur asing dan domestik.

"Pembukaan semula sempadan adalah baik untuk Malaysia, jadi ia mendorong menggalakkan dan semua perkara bergerak semula.

Artikel Berkaitan:

"Dari sudut pandang portfolio pelaburan, kami yakin Malaysia akan menyaksikan pertumbuhan kembali semula ke dalam negara, dan bagi kami, ia penting kerana portfolio domestik merupakan pendorong yang amat kukuh bagi kami dalam ruang ini,” katanya.

Beliau berkata, KWSP terus mempelbagaikan pelaburannya, dan giat meninjau peluang lebih baik dengan Malaysia kekal sebagai pasaran utama. - Bernama