Gabung faktor ESG berpotensi tingkatkan pulangan: Pengerusi KWSP

KWSP
KWSP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menggabungkan faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam usaha wajar pelaburan dan proses membuat keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai potensi untuk meningkatkan pulangan, kata Pengerusinya Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Beliau berkata, secara tradisinya, KWSP merupakan pelabur yang mementingkan aspek sosial dan ia menggunakan kriteria penapisan negatif untuk menapis saham-saham dan mengecualikan saham yang dikategorikan sebagai tidak beretika seperti alkohol, tembakau, perjudian dan senjata.

"Komitmen KWSP terhadap pelaburan secara bertanggungjawab, menggalakkan tadbir urus korporat yang berkesan serta mengawasi syarikat-syarikat pelaburannya, dapat membantu menyokong kemajuan pasaran dan ekonomi yang mampan.

"Ini secara tidak langsung akan menjadi asas kepada menambah baik hasil jangka panjang ahli KWSP,” katanya pada pelancaran Polisi Pelaburan Mampan, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan KWSP untuk membimbing agensi itu dalam membuat keputusan yang lebih baik dengan menyepadukan ESG.

Katanya, pada masa depan, KWSP berhasrat untuk mengukuhkan amalan ini dengan menyokong tadbir urus korporat yang mantap terhadap syarikat-syarikat pelaburannya.

Beliau berkata, ini berdasarkan keyakinan KWSP bahawa tadbir urus yang kukuh adalah pra-syarat untuk memelihara kepentingan pemegang saham, selain menjadikannya sebagai asas untuk amalan dan kesedaran alam sekitar dan sosial yang lebih kukuh.

Katanya, KWSP telah menggariskan komitmennya terhadap dua hasrat ke arah pelaburan mampan yang menyeluruh yang akan membimbing segala usaha agensi itu dalam mencapai kemampanan.

"Ini untuk mencapai portfolio pematuhan ESG sepenuhnya menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 untuk Malaysia yang neutral karbon,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, katanya tiga polisi itu akan menyediakan pendekatan peringkat tinggi untuk pelaburan mampan dan integrasi ESG dalam proses pelaburan; mentakrifkan pendirian KWSP terhadap perubahan iklim dan kesejahteraan pekerja; dan meneliti isu tambahan merentasi pelbagai sektor berlandaskan ESG untuk syarikat-syarikat pelaburan KWSP dalam sektor minyak dan gas, minyak sawit, perlombongan, penjanaan kuasa, pembinaan dan perbankan.

Ahmad Badri turut menekankan bahawa KWSP merupakan organisasi pertama di Malaysia yang mewujudkan dan mengeluarkan Polisi Isu Keutamaan yang mentakrifkan pendirian KWSP mengenai perubahan iklim dan kesejahteraan pekerja.

"Berdasarkan kedudukan KWSP sebagai dana persaraan terulung negara, penting ia menggabungkan faktor ESG dalam penilaian prestasi syarikat pelaburan dan amalan perniagaan mereka.

"Dengan mempertimbangkan risiko dan peluang di luar prestasi kewangan, KWSP akan berada pada kedudukan yang baik untuk membuat keputusan pelaburan holistik yang lebih baik, sekali gus memelihara pulangan jangka panjang ahli dan menyumbang kepada ekosistem kemampanan yang lebih luas,” katanya. - Bernama