Mahkamah diberitahu Kabinet PH putuskan Najib bersalah sebelum didakwa

Najib hadir di Mahkamah Tinggi hari ini, bagi sambung bicara berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama
Najib hadir di Mahkamah Tinggi hari ini, bagi sambung bicara berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad hari ini bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Kabinet Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah walaupun sebelum bekas perdana menteri itu didakwa atas pertuduhan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Madinah, 66, berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes yang dihadapi Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Muhammad Shafee: Tan Sri, anda menghadiri mesyuarat Kabinet untuk memberi taklimat pada 23 Nov 2018. Anda tahu, orang yang menghadiri mesyuarat itu ‘tidak begitu mesra’ dengan anak guam saya seperti Lim Guan Eng, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan sebagainya.

Anak guam saya telah didakwa pada 12 Disember 2018, dua minggu selepas mesyuarat. Saya cadangkan kepada anda bahawa hasil taklimat anda kepada Kabinet PH, Kabinet memutuskan bahawa anak guam saya bersalah walaupun sebelum didakwa. Ya atau tidak?

Madinah: Boleh saya jelaskan, Yang Arif?

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan meminta saksi menjawab soalan Muhammad Shafee kerana beliau boleh menjelaskannya semasa pemeriksaan semula.

Madinah kemudian menjawab, "Yang Ariff, mengikut minit ini, ya”.

Kepada soalan lain, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata bahawa Ketua Audit Negara sebelumnya, Tan Sri Ambrin Buang keberatan berkongsi pendapatnya mengenai isu 1MDB dan memintanya membaca laporan audit rasmi yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Artikel Berkaitan:

Madinah berkata beliau dan Ambrin sangat bimbang terhadap dakwaan berkaitan laporan audit 1MDB yang dibincangkan secara meluas di seluruh dunia tetapi "dirahsiakan” di negara ini.

Beliau merujuk kepada khabar angin yang tersebar di seluruh dunia berhubung kononnya penglibatan Najib dalam dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Dengan laporan Ketua Audit dalam simpanan saya dan isu mengenai 1MDB yang kami maklum, kami semua dalam kerajaan perlu berhati-hati berhubung isu itu, dan kami lebih suka tidak menyebut atau bercakap mengenainya. Ia seperti satu persefahaman dalam kalangan kami untuk tidak bercakap mengenainya dan laporan audit (asal) itu berada dalam simpanan saya.

"Saya bertanya kepadanya (Ambrin) apa yang ada dalam laporan itu, sama ada beliau boleh memberitahu saya, terutamanya mengenai PM (Najib) dan penglibatannya dalam 1MDB, itulah cara saya membangkitkan perkara itu.

"Saya ingin mendengar daripadanya memandangkan beliau menjalankan audit 1MDB tetapi beliau keberatan dan berkata beliau tidak boleh mengesahkan dan saya membiarkannya begitu sahaja,” kata Madinah.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada anda bahawa anda tidak bertindak adil dengan tidak membawa perkara itu kepada PM Najib ketika anda mengambil alih jawatan (ketua audit negara) dan pada Mac 2017, anda tidak jujur ​​dalam membangkitkannya? Madinah menjawab: Tidak.

Muhammad Shafee: Anda tidak bersemuka dengan Najib kerana anda menyedari beliau (Najib) akan relevan dengan tempoh anda sebagai ketua audit negara, anda mendapatnya (jawatan) daripadanya, anda tidak membangkitkannya (kebimbangan terhadap audit 1MDB) untuk melindungi jawatan anda.

Madinah: Tidak.

Muhammad Shafee: Anda pergi berjumpa Dr Mahathir (PM ketika itu pada 2018) kerana anda menyedari semua orang ‘digugurkan’ (dikatakan disingkirkan daripada jawatan berikutan kemenangan PH pada pilihan raya 2018). Anda mahu melindungi jawatan anda dan menjadi seorang lagi 'Datuk Nor Salwani Muhammad' untuk memihak kepada PM ketika itu (Dr Mahathir).

Madinah menjawab: Saya tidak setuju.

Nor Salwani, yang kini Timbalan Ketua Audit Negara diarah memusnahkan salinan asal laporan audit 1MDB, bagaimanapun, secara rahsia telah menyimpan satu daripada salinan asal laporan itu, yang disediakan Jabatan Audit Negara pada 2016.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC, untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 45, didakwa bersubahat dengan Najib membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) serta 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama