14 kawasan Parlimen terlibat tanam pokok satu bayi

Shahaniza
Shahaniza
A
A
A
KUANTAN - Sebanyak 14 kawasan Parlimen di Pahang akan terlibat dengan inisiatif penanaman pokok bagi setiap anak dilahirkan di Pahang.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) berkata, program terbabit menyasarkan 25,000 anak pokok ditanam pada setiap tahun.

Menurutnya, kos bagi setiap pokok yang ditanam dianggarkan hanya RM10 dan menelan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM250,000.

"Lokasi dicadangkan untuk aktiviti penanaman pokok itu termasuk di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), taman hutan dan tanah kerajaan. Jumlah anggaran kawasan di 14 kawasan Parlimen meliputi kira-kira 69.47 hektar.

"Ini merupakan salah satu usaha kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama dengan institusi kewangan (Bank Rakyat) dan JPNP (Jabatan Perhutanan Negeri Pahang)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Khamis.

Pada Rabu, Shahaniza memaklumkan setiap anak pokok ditanda dengan nama anak itu dan JPNP akan mengenal pasti pokok yang sesuai untuk ditanam bergantung kepada landskap kawasan masing-masing.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan menjadikan tapak itu sebagai tarikan pelancong tetapi membolehkan kanak-kanak itu kembali melawat dan mengambil gambar pada hari lahir mereka.

Dalam pada itu, Shahaniza memberitahu, kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM21 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melaksanakan inisiatif kebajikan kepada rakyat di negeri ini.
Artikel Berkaitan:


Katanya, peruntukan itu akan dimanfaatkan semua kumpulan sasar seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak- kanak serta Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Pahang (KWAMP)

"Daripada jumlah itu sebanyak RM745,000 telah diluluskan kepada golongan OKU yang meliputi pembelian alat pemulihan kepada 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi meningkatkan potensi pemulihan OKU dan mengelakkan kecacatan menjadi lebih teruk.

"Sumbangan 'one-off' sebanyak RM250 diberikan kepada 300 penyelia dan petugas PDK di seluruh Pahang bagi mengiktiraf komitmen mereka," katanya

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata,kadar liputan jalur lebar mudah alih (4G) di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di seluruh Pahang meningkat kepada 92.56 peratus berbanding 89.10 peratus pada suku kedua tahun 2020.

Menurutnya, rangkaian liputan akan terus dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 96.9 peratus menjelang penghujung 2022.

Katanya, bagi tujuan itu, penutupan rangkaian 3G telah dilaksanakan pada 31 Disember 2021 untuk penggunaan spektrum yang lebih efisen dan ini memberi sedikit kesan sementara kepada perkhidmatan komunikasi.

“Jadi, pengguna boleh memeriksa kad sim sedia ada sama ada telah ‘4G ready’ atau membuat tetapan rangkaian telefon bimbit ke rangkaian 4G. Pengguna juga perlu memastikan bahawa telefon bimbit adalah model yang berkeupayaan 4G bagi memastikan perkhidmatan komunikasi tidak terganggu,” katanya dalam sesi penggulungan itu.