Umat Islam diseru ambil iktibar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini diseru mengambil iktibar daripada insiden berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lepas yang berpunca daripada salah faham terhadap Islam.

Insiden yang mengorbankan 50 orang itu menunjukkan betapa pentingnya untuk sentiasa memelihara kedamaian dan perpaduan.

Menerusi khutbah bertajuk 'Islam Agama Kedamaian' yang dibacakan hari ini, perintah Allah SWT dalam al-Quran banyak menekankan mengenai kepentingan untuk memelihara kedamaian yang merupakan sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia, seperti larangan menumpahkan darah tanpa hak.

"Sesungguhnya Islam agama yang mencintai kedamaian. Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya.

"Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia," menurut teks khutbah itu yang dimuat naik di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Khutbah Jumaat itu yang disiarkan secara langsung di Tv1 dari Masjid Salehin, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, dibacakan Penolong Pengarah Agama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) ACP Ghazali Daud.

Umat Islam diseru untuk tidak terlalu mudah mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap perbuatan jahat orang bukan Islam yang kelak hanya akan mendatangkan kemudaratan.

"Ingatlah, perbuatan itu tidak akan dapat memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah-menfitnah serta prasangka yang berpanjangan," menurut khutbah itu.

Artikel Berkaitan:

Kandungan khutbah itu turut menyentuh mengenai keperluan untuk masyarakat memahami konsep taaruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik, tafahum iaitu saling memahami dan ta'awun iaitu saling membantu, bagi menjaga keharmonian dan kestabilan negara.

"Kita seharusnya berhati-hati dalam meneliti sebarang propaganda, prasangka atau berita yang diterima tentang sesuatu kaum, agama dan sebagainya.

"Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya," menurut khutbah itu.

Seramai 50 orang, termasuk seorang warga Malaysia, terbunuh dalam tembakan rambang yang dilakukan oleh seorang lelaki ‘white supremacist’ (percaya bahawa hanya golongan kulit putih paling mulia) di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, Jumaat lepas. - Bernama