Cuckoo catat untung RM185.5 juta, lonjakan 44 peratus berbanding 2020

Dari kiri: Ketua Pegawai Hasil Antarabangsa Cuckoo,Mak Wai Hoong; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo, Kian Choon; Pengarah Urusan Fujiaire Global Sdn Bhd, Wong See Wei dan Pengarah Fujiaire Global Sdn Bhd, Tan Boon Eng ketika MoA antara Cuckoo dan Fujiaire.
Dari kiri: Ketua Pegawai Hasil Antarabangsa Cuckoo,Mak Wai Hoong; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo, Kian Choon; Pengarah Urusan Fujiaire Global Sdn Bhd, Wong See Wei dan Pengarah Fujiaire Global Sdn Bhd, Tan Boon Eng ketika MoA antara Cuckoo dan Fujiaire.
A
A
A

CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd (Cuckoo) mencatatkan RM185.5 juta keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tahun 2021, iaitu dengan peningkatan 44 peratus berbanding 2020.

Menurut kenyataan, syarikat itu berjaya mencapai pertumbuhan kukuh bagi tahun ketujuh berturut-turut walaupun menghadapi keadaan pasaran mencabar dan terus optimis dengan prospek bagi tahun 2022.

Jelas Cuckoo, pada hujung tahun fiskal 2021, Cuckoo mencapai lebih daripada RM1.13 bilion bagi hasil dalam pasaran Malaysia, yang sebahagian besarnya disemarakkan oleh pertumbuhan positif dan pelancaran beberapa produk utama pada tahun sama.

“Keputusan kewangan keseluruhan yang kukuh pada tahun lalu, berserta komitmen Cuckoo untuk melangkaui batas keupayaannya, telah memperkasakan lebih 1.4 juta rumah dan 4.7 juta pengguna isi rumah dengan penyelesaian Beyond Standards yang lebih sihat.

“Di samping itu, syarikat ini telah menubuhkan lebih 640 cawangan di seluruh negara sejak penubuhannya pada 2014,” katanya pada Khamis.

Mengulas prestasi cemerlang syarikat, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo, Hoe Kian Choon berkata, pencapaian kukuh dan rekod baharu pertumbuhan hasil dipacu oleh permintaan tinggi rakyat Malaysia terhadap tawaran atau penyelesaian yang lebih sihat.

Hoe Kian Choon
Hoe Kian Choon

Jelasnya, bagi memenuhi permintaan mampu milik dan mudah diakses dengan konsep model langganan fleksibel, Cuckoo telah membangunkan pelbagai pelan langganan di bawah GOOODPLAN TM bagi menyediakan pelanggan dengan pelbagai pilihan plan bayaran mampu milik yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

“Malah, lebih daripada 90 peratus pelanggan kami melanggan perkhidmatan berasaskan sewaan. Ini telah melonjakkan momentum dan pertumbuhan perniagaan kami di seluruh negara.

“Pencapaian kewangan kami yang kukuh pada tahun lalu adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai pertumbuhan lestari dengan momentum berterusan merentasi setiap tonggak perniagaan.

“Tambahan pula, pengenalan pelbagai penyelesaian kediaman yang sihat lagi inovatif pada kemuncak pandemik telah menonjolkan daya tahan syarikat yang luar biasa dan keupayaannya dalam memahami permintaan pelanggan terhadap kehidupan yang lebih sihat dalam tempoh yang tidak pernah dialami seumpama ini," ujarnya.

Tambah beliau, selari dengan misi syarikat untuk menjadi Healthy Home Creator (Jenama Pencipta Rumah Sihat) nombor satu di Asia, Cuckoo terus membangunkan produk dan perkhidmatan yang melebihi standard menerusi empat tonggak.

Jelasnya, ia bagi menyuntik nafas baharu secara holistik kepada kesihatan dan kediaman pengguna dengan kualiti hidup yang lebih baik.

“Antara tonggaknya adalah peralatan rumah dikhususkan untuk membangunkan dan memperkenalkan perkakas yang sihat. Penjagaan kecantikan untuk meningkatkan taraf kecantikan dan gaya hidup rakyat Malaysia.

“Selain itu, Cuckoo juga memperkenalkan jenama WonderKlean di bawah tonggak ketiga, iaitu Servis Pembersihan Kediaman bagi menyediakan, membekalkan servis-servis penjagaan dan pembersihan rumah.

“Tonggak keempat dan juga yang terbaharu ialah Kehidupan Sihat yang memfokuskan untuk mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jenama pencipta rumah sihat menerusi kerjasama strategik dengan perusahaan tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, Cuckoo juga telah menandatangani satu memorandum perjanjian (MoA) bersama pengeluar penghawa dingin tempatan, Fujiaire Global Sdn Bhd (Fujiaire) bagi mewujudkan suasana dalaman yang selesa untuk rakyat Malaysia.

“Penyaman Udara Pintar Cuckoo Vita-S Inverter baharu akan menjadikan rumah rakyat Malaysia lebih sejuk dan sihat dengan membebaskan Vitamin C ke udara, yang membantu melembapkan kulit serta meningkatkan imuniti.

“Selain itu, ia juga membebaskan ion perak ke udara, yang dapat memusnahkan membran sel bakteria pada kepekatan sangat rendah.

“Berpegang teguh kepada falsafah kami, Cuckoo telah memperkasakan lebih 4.7 juta pengguna isi rumah dengan pelbagai tawaran rumah yang sihat. Kami sangat teruja untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Fujiaire.

"Ini kerana ia membolehkan kedua-dua pihak terus berinovasi dan menyediakan teknologi masa hadapan yang akan meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat Malaysia," katanya.