Pembukaan sempadan: KPDNHEP tingkatkan penguatkuasaan

Alexander Nanta
Alexander Nanta
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan susulan pembukaan sempadan negara pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan

Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Ini bagi memastikan isu-isu berkaitan ketirisan barang kawalan termasuk minyak

masak bersubsidi dibanteras sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurutnya, masyarakat disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak

berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutama minyak masak.

"Penglibatan masyarakat dapat membanteras aktiviti penyelewengan barangan subsidi sehingga ke akar umbi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sejak Januari 2018 hingga Februari lalu, kementerian merekodkan 401 kes membabitkan kesalahan berkaitan pembekalan minyak masak termasuk bersubsidi melibatkan nilai rampasan RM15.57 juta.

"Kes-kes ini adalah hasil tindakan penguatkuasaan ke atas pelbagai peringkat rantaian pengedaran termasuklah pengilang, pemborong dan peruncit yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA) dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Alexander berkata, sembilan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) melibatkan nilai pembekuan RM1.79 juta ke atas aset syarikat berkaitan minyak masak.

"Kementerian juga telah mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan di bawah CSA dan penggantungan kuota minyak masak

bersubsidi oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan

dan keputusan kes dimuktamadkan," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan statistik sehingga Februari, sebanyak 27 syarikat telah digantung atau dibatalkan lesen di bawah CSA.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh mengemukakan aduan yang lengkap kepada kementerian melalui WhatsApp 019-279 4317, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan email e-aduan@kpdnhep.gov.my," katanya.