Guna bahasa elok ketika mengajar: Mufti Kedah

Syeikh Fadzil
Syeikh Fadzil
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Penggunaan bahasa yang sesuai perlu digunakan oleh setiap tenaga pengajar bagi memastikan penyampaian ilmu berkesan kerana ia merupakan antara adab di dalam Islam.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penggunaan perkataan tidak elok akan memberikan kesan dan imej buruk kepada pengajar manakala tindakan pelajar mendedahkan keaiban guru juga satu tindakan yang tidak baik.

Menurutnya, pelajar yang tidak berpuas hati dengan guru atau sebaliknya perlu berbincang selepas majlis ilmu bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya bertindak menularkan sesuatu kejadian.

"Seorang guru memang tidak boleh menggunakan bahasa tidak elok. Kita mempunyai adab dalam Islam, ia perlu dijaga dalam majlis ilmu.

"Dalam penyampaian ilmu yang lebih berkesan, perlu dilihat seluruh aspek iaitu dari segi cara penyampaian iaitu menggunakan bahasa yang sesuai serta penampilan tenaga pengajar itu sendiri," katanya dalam sidang akhbar kadar zakat fitrah Kedah di Menara Zakat, dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu video yang tular berhubung seorang pensyarah kontrak sebuah universiti memperlekehkan seorang pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa sesi kelas dalam talian dan video itu tular sejak Rabu.

Syeikh Fadzil berkata, guru dan pelajar masing-masing mempunyai adab yang perlu dijaga dan sikap yang tidak elok serta berlebihan turut dilarang dalam adab menuntut ilmu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam Islam, sebagai pelajar juga ada adab apabila hendak bertanya soalan, tidak boleh sewenang-wenangnya untuk kemukakan soalan kepada guru.

"Perlu mendapat keizinan terlebih dahulu dan bertanya pada masa sesuai serta soalan tidak bercanggah dengan perkara yang dinyatakan oleh guru," katanya.