YBR peruntuk RM10 juta bantuan pendidikan

Adnan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan wang tunai kepada seorang pelajar sambil diperhatikan oleh Mohd Shahrizal dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian dan Bantuan Persekolahan YBR di Kompleks Rakan Muda, Jalan Melang di sini
Adnan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan wang tunai kepada seorang pelajar sambil diperhatikan oleh Mohd Shahrizal dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian dan Bantuan Persekolahan YBR di Kompleks Rakan Muda, Jalan Melang di sini
A
A
A

KUALA PILAH - Seramai 66,399 orang murid di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi bantuan wang tunai persekolahan yang disediakan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sejak tahun 2018 menerusi peruntukan sebanyak RM7.87 juta.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri berkata, menerusi bantuan awal pengajian institut pengajian tinggi (IPT) YBR pula, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat sejak tahun 2017 sehingga kini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

“Program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar IPT serta murid sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada dan juga sesi persekolahan.

“Inisiatif bantuan pendidikan ini diharap menjadi pendorong kepada organisasi-organisasi lain untuk turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini tanpa mengira bentuk atau nilai sumbangan,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian dan Bantuan Persekolahan YBR di Kompleks Rakan Muda, Jalan Melang di sini pada Rabu.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Adnan Abu Hassan.

Pada majlis tersebut, sebanyak RM80,000 bantuan pendidikan YBR diberikan kepada 600 murid sekolah dan IPT di daerah ini sempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan serta pembukaan semester di universiti.

Replika cek bantuan persekolahan dan bantuan awal pengajian itu disampaikan Adnan.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan replika cek berjumlah RM7,560 bagi Program Kelas Tuisyen Yayasan Bank Rakyat kepada calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling di sini.

Artikel Berkaitan: