Jajaran baru lebuh raya ke utara dijangka dibina tahun ini

Mohd Zolkafly mengendalikan jengkaut sebagai gimik pecah tanah projek penyambungan Jalan Utama Meru Raya-Klebang di Jalan Lebuh Klebang Putra di sini pada Khamis.
Mohd Zolkafly mengendalikan jengkaut sebagai gimik pecah tanah projek penyambungan Jalan Utama Meru Raya-Klebang di Jalan Lebuh Klebang Putra di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pembinaan jajaran lebuh raya baharu sebagai laluan alternatif ke utara bermula Gopeng hingga Kuala Kangsar dijangka dapat dimulakan tahun ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu berdasarkan komitmen dan kesungguhan ditunjukkan pemaju serta syarikat konsensi terlibat untuk melaksanakan pembinaan dalam kadar segera.

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly

Menurutnya, hanya tinggal beberapa perkara teknikal yang masih dalam peringkat perbincangan untuk diselesaikan oleh pemaju dengan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

"Kita harap perkara itu dapat diselesaikan dengan kadar segera dan apabila telah disempurnakan, kita akan umumkan secara rasmi nanti.

"Kalau ikutkan kepada komitmen dan kesungguhan konsensi, dijangkakan projek pembinaan lebuh raya ini boleh dilaksanakan pada tahun ini juga," katanya selepas menyempurnakan pecah tanah projek penyambungan Jalan Utama Meru Raya-Klebang di Jalan Lebuh Klebang Putra di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam laporan sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kerajaan negeri telah menerima cadangan daripada sebuah syarikat pemaju untuk membina satu jajaran lebuh raya baharu bermula dari Gopeng hingga Kuala Kangsar tanpa melalui Terowong Menora.

Artikel Berkaitan:

Jajaran lebuh raya itu dibina bagi mengurangkan kesesakan dan kadar kemalangan yang sering berlaku di Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Dalam perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata, projek Jalan Utama Meru Raya-Klebang itu akan melibatkan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 50 meter merentangi Sungai Pari, jalan empat lorong dua hala sepanjang 1.3 kilometer, lengkap dengan kemudahan lampu jalan.

Katanya, pembinaan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu melibatkan kos sebanyak RM6.6 juta dalam bentuk PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta) dan kerajaan negeri hanya menanggung kos RM4.2 juta bagi proses pengambilan balik tanah.

"Projek ini dilaksanakan secara smart partnership antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan beberapa pemaju antaranya Ain Bina Development Sdn Bhd, Eadepro Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd melalui PFI.

"Tujuannya untuk memendekkan jarak perjalanan dan merancakkan pertumbuhan aktiviti pembangunan perumahan dan kedai pejabat di kawasan itu," katanya.