Cubaan seludup 60 tan tepung gandum ke Thailand gagal

Rae Morn Verak (kanan) memeriksa tepung gandum yang dirampas di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Rabu.
Rae Morn Verak (kanan) memeriksa tepung gandum yang dirampas di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Rabu.
A
A
A

JITRA - Sebanyak 60,000 kilogram (kg) tepung gandum bernilai RM132,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini, pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, tindakan itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu yang menyerbu gudang tersebut pada jam 11 pagi selepas risikan selama tiga hari.

Beliau memberitahu, serbuan dilakukan mendapati gudang tersebut menyimpan barang kawalan iaitu tepung gandum tanpa lesen.

"Berdasarkan siasatan, gudang kosong terbabit dipercayai dijadikan tempat transit sebelum tepung gandum diseludup keluar ke Thailand.

"Bekalan tepung gandum itu dipercayai diperolehi dari sebuah syarikat pemborong dari negeri lain,"katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Tunjang, di sini, pada Khamis. Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu, K. Muniandy.

Tambah Morn Verak, pihaknya turut menahan seorang lelaki warganegara tempatan dipercayai penjaga gudang yang berusia dalam lingkungan 40- an semasa serbuan itu.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit telah dibebaskan selepas rakaman percakapan diambil," katanya

Beliau memaklumkan tindakan kes diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta," katanya.

Tambah beliau, bekalan tepung gandum kini mendapat permintaan tinggi memandangkan sektor perniagaan telah mula beroperasi seperti biasa dan negara akan beralih ke fasa endemik.

Beliau memberitahu, harga barangan kawalan seperti tepung gandum dipercayai dijual pada kadar harga lebih tinggi di negara jiran.