Sektor tanaman agromakanan Pahang rugi RM15.09 juta

Mohd Soffi
Mohd Soffi
A
A
A

KUANTAN - Sektor tanaman agromakanan di Pahang mencatatkan kerugian lebih RM15.09 juta membabitkan kawasan seluas 3,173 hektar pada Disember 2021 hingga Januari lalu akibat bencana banjir.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, kerugian itu terpaksa ditanggung 1,739 petani termasuk 1,249 pesawah dan bakinya ialah pekebun sayur dan buah-buah di seluruh negeri.

Menurutnya, susulan itu dua bentuk bantuan telah diberikan oleh kerajaan Pahang terdiri daripada kewangan dan input pertanian serta peralatan.

"Pesawah padi yang berdaftar akan menerima bantuan kewangan Tabung Bencana Tanaman Padi dan merela berpeluang menerima bantuan sehingga RM5,400 dengan kadar RM1,800 bagi setiap hektar dengan maksimum bantuan seluas tiga hektar yang dikreditkan ke akaun mereka.

"Bagi pengusaha industri asas tani yang mengalami kerosakan barangan atau peralatan, mereka layak menerima sehingga RM50,000.

"Pengusaha tanaman makanan pula boleh menerima sehingga RM60,000 melalui bantuan Tabung Pembangunan Semula Projek Agromakanan dalam bentuk input pertanian," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Khamis.

Sebelum itu, Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) ingin tahu jumlah petani yang terkesan banjir dan bantuan disediakan kerajaan negeri.

Mohd Soffi berkata, sebanyak RM100 juta disediakan di bawah dua tabung berkenaan bagi membantu pengusaha agromakanan yang terkesan akibat bencana itu di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Soffi memaklumkan seramai 275 penternak akuakultur di negeri ini turut mengalami kerugian berjumlah RM12.1 juta kesan daripada bencana banjir.

Sementara itu, Pengerusi Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman (BN-Guai) ketika menjawab soalan Samsiah mengenai rancangan menaik taraf Jalan Keratong-Bahau dan Jalan Segamat-Kuantan berkata, kedua-dua projek itu masih belum diluluskan.

"Kedua-dua projek itu tidak diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia ke-11 dan Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Projek-projek itu akan dicadangkan semula di bawah Rolling Plan 3 RMK12 untuk kelulusan," katanya.