Aras laluan LPT sering dinaiki air akan dibaik pulih

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang telah mengenal pasti aras laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sering dinaiki air untuk dibaik pulih.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persetujuan bagi tujuan itu sudah diperoleh daripada kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja membaik pulih dijangka bermula Julai ini.

Menurutnya, projek baik puih aras laluan LPT itu melibatkan jalan Lanchang yang keadaannya agak kritikal setiap kali hujan atau musim banjir.

“Jalan ini kita beri keutamaan untuk dibaik pulih kerana strukturnya terlalu rendah dan sering dinaiki air sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan terutama yang membawa bekalan makanan untuk keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) berkenaan pelan tindakan kerajaan Pahang dalam menangani masalah banjir masa pendek dan panjang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Khamis.

Wan Rosdy turut memaklumkan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM20.36 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja mengurangkan risiko banjir.

Justeru, kerajaan Pahang sudah merangka strategi untuk menangani banjir di negeri ini.

"Sehingga 10 Mac lalu, JPS telah menerima peruntukan sebanyak RM20.36 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai dan menaiktaraf kolam takungan banjir serta empangan bagi mengurangkan risiko banjir di setiap daerah.

Artikel Berkaitan:

“Bagi tujuan memelihara sungai ia melibatkan 158 projek bernilai RM16.54 juta dan 36 projek (RM1.9 juta) bagi menaiktaraf kolam takungan manakala menaiktaraf empangan pula sebanyak dua projek yang bernilai RM1.8 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM20.36 juta,” katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, JPS turut menerima peruntukan sebanyak RM6.14 juta bagi melaksanakan 42 kerja kecemasan melibatkan 42 projek.

Tambah beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga giat menjalankan kerja-kerja pembaikan cerun yang rosak akibat banjir dan sehingga kini lapan lokasi telah diluluskan di bawah Program Selenggaraan Berkala atau turapan berjumlah RM5.4 juta.

“Lima lagi lokasi telah diluluskan di bawah program bukan turapan pula berjumlah RM5.3 juta dan lima lokasi telah diluluskan di bawah Program Pembaikan Cerun iaitu berjumlah RM14.48 juta.

"Kerajaan Pahang juga telah memohon peruntukan sebanyak RM53 juta bagi kegunaan awal komuniti sekiranya berlaku banjir pada masa hadapan," katanya.